Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin: Biar polis siasat bukan Lokman 'cicak mengkarung'
Diterbitkan:  Jun 24, 2019 4:29 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Menteri Hal Ehwal Eonomi Mohamed Azmin Ali mengecam cabaran Anggota Majlis (MT) Tertinggi Umno Lokman Noor Adam supaya timbalan presiden itu mengambil ujian pengesan bohong melalui alat poligraf.

Azmin menggelar Lokman sebagai "cicak mengkarung" dan berkata pemimpin Umno itu tidak sepatutnya menentukan bagaimana pihak berkuasa menjalankan penyiasatan terhadap skandal video seks sejenis yang didakwa membabitkan dirinya.

"Ini masalah Umno, dia penyebar fitnah, dia nak jadi pendakwa, nak jadi penyiasat, hakim, dia nak menentukan segalanya," kata Azmin kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Kuala Lumpur hari ini.

Azmin mengulas gesaan Lokman supaya beliau mengambil ujian poligraf bagi membuktikan dirinya tidak bersalah dalam skandal klip video seks sejenis yang memaparkan seorang lelaki menyerupai Azmin tersebar kepada pihak media sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya orang di dalam video itu dan mendakwa lelaki lain yang bersamanya ialah Azmin.

Namun, Azmin berulang kali menafikan dakwaan itu, berkata ia komplot jahat memusnahkan kerjaya politiknya.

"Ini adalah satu perbuatan kejam, fitnah yang jahat, cukup terancang yang didalangi orang tertentu," katanya hari ini.

Azmin juga berkata beliau telah mengambil langkah undang-undang berdasarkan nasihat peguamnya, termasuk laporan qazaf yang dibuat kepada pihak berkuasa agama serta memberikan kerjasama terhadap siasatan polis.

"Saya telah mengambil beberapa langkah undang-undang atas nasihat peguam saya. 

"Pertama telah melakukan laporan qazaf serta telah membuat laporan polis dan kita telah memberikan kerjasama terbaik pada mereka dan bukan cicak mengkarung seperti (Lokman) ini yang hendak menentukan proses siasatan, hasil siasatan, dan tindakan-tindakan seterusnya," katanya lagi.

Apabila pemberita terus bertanya sekiranya Azmin akan menyambut cabaran pemimpin Umno itu, Azmin enggan mengulas lanjut dengan menyoal jika Lokman ialah peguam negara yang baru.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS