Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan k'jaan tak anggap penagih sebagai penjenayah dipuji

Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (AMAM) memuji keputusan kerajaan untuk tidak melihat penagih dadah sebagai pesalah jenayah tetapi sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Presiden kedua-dua persatuan, Dr Steven KW Chow berkata fraterniti perubatan sudah sekian lama merayu kepada pendekatan yang mempunyai belas kasihan untuk menguruskan mereka yang terjejas akibat penagihan dadah dan menyokong peranan terapi yang dibantu rawatan perubatan (MAT) bersama intervensi psikososial di semua peringkat masyarakat.

“Kami menyokong sepenuhnya keputusan polisi ini dan akan menawarkan perkhidmatan dan sumber kami kepada kerajaan untuk membantu mengekang bahaya ketagihan yang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Chow berkata bukti saintifik ketagihan sebagai kerosakan otak yang kronik tidak dapat dinafikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan ke atas peruntukan berkaitan dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 akan memboleh mereka yang ketagihan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan yakin dan sah di sisi undang-undang.

Semalam, Bernama melaporkan penagih dadah di negara ini tidak lagi dilihat sebagai penjenayah yang perlu dihukum tetapi sebagai pesakit yang perlukan rawatan dan pemulihan.

Ini berikutan perundingan antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan di Putrajaya yang bersetuju untuk tidak mengklasifikasikan penagih dadah sebagai pesalah jenayah.

-Bernama

Lihat Komen
ADS