Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik penggunaan kepala surat kementerian bagi "urusan selekeh".

Beliau berkata, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menggambarkan kedangkalan serta cara yang tidak matang.

Oleh itu katanya, sewajarnya menteri-menteri dan pegawai baru menteri yang tidak berpegalaman diberi kursus mengenai perkara itu.

"Saya mohon mencadangkan untuk menteri-menteri atau pegawai-pegawai baru menteri yang tidak cukup pengetahuan atau pengalaman mengenai urus tadbir diberikan kursus induksi.

"Ini penting supaya tidak bertindak secara yang sangat tidak profesional.

"Umpamanya, kepala surat kerajaan atau kementerian tidak wajar digunakan untuk urusan-urusan yang selekeh. Ia akan mendedahkan banyak kedangkalan lain dan cara yang tidak matang," tulis Mohd Asri di laman sosial Facebooknya.

Bagaimanapun, tulisan Mufti Perlis itu tidak merujuk kepada mana-mana menteri, kementerian ataupun pegawai kerajaan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan lanjut beliau berkaitan “urusan selekeh” dimaksudkan.