Terjemahan Tempoh dua hari pun sudah cukup menyeksakan bagi seorang ibu, inikan pula penantiannya sudah berlarutan selama dua tahun untuk mengkebumikan mayat anaknya.

Inilah yang disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz apabila beliau menemui G Sara Lily, yang terbabit dalam kes mahkamah yang sudah lama berlarutan mengenai mayat yang tidak dapat dikenalpasti, yang beliau dakwa adalah anaknya.

Nazri juga memberi jaminan kepada Sara Lily yang beliau akan cuba mendapatkan jasabaik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya campurtangan dalam perkara tersebut.

Pada masa ini, siasatan kes itu masih berterusan untuk memastikan identiti mayat yang sudah reput itu yang kini disimpan di bilik mayat hospital sejak Mei lalu. Sara Lily tetap dengan pendiriannya bahawa ia adalah mayat anak lelakinya, G Francis Udayappan berdasarkan kepada kecacatan pada gigi dan tato.

Francis (kanan) dikatakan cuba melarikan diri daripada tahanan polis pada April 2004. Sebulan kemudiannya, satu mayat ditemui terapung di Sungai Klang. Walaupun Sara Lily mendakwa itu mayat anaknya yang berusia 24 tahun, tetapi ujian DNA menunjukkan sebaliknya.

Sara Lily juga menuduhkan pihak polis telah memukul anaknya hingga mati dan kemudian membuang mayatnya ke dalam sungai. Bagaimanapun, pihak berkuasa telah menafikan dakwaan tersebut.

'Seksaan mental'

Mengulas lanjut mengenainya, Nazri yakin, Sara Lily sebagai seorang ibu, dapat mengenalpasti mayat anaknya sendiri.

"Tentunya, sorang ibu boleh mengenali anaknya sendiri. Walaupun ujian DNA telah dilakukan tetapi ia masih tidak boleh diselesaikan [...] Ada sesuatu yang tidak kena di sini.

"Saya nampak ini lebih untuk menyeksa jiwa ibu bapa si mati sahaja," katanya dalam satu sidang akhbar selepas menemui Sara Lily dan menerima memorandum mengenai penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis, dari Jawatankuasa Hak Asasi dan Pemantauan Polis di bangunan Parlimen hari ini.

Nazri meminta Sara Lily menghantar segera surat kepada Perdana Menteri mengenai perkara tersebut, dan beliau berjanji akan membuat susulan.

"Dua tahun adalah terlalu lama. Malah dua hari pun sudah terlalu lama [...] Beliau masih takut selepas kehilangan anak lelakinya, tetapi sekurang-kurangnya ia mesti berakhir," katanya, sambil menambah beliau akan cuba berusaha supaya mayat tersebut diserahkan kepada keluarganya.

Pantau semua

Dalam satu lagi perkembangan, Nazri turut mengulas bantahan berterusan pihak polis terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salahlaku Polis (IPCMC).

"Saya telah memberitahu pihak polis bahawa dalam masa-masa begini, jika anda (pihak polis) tidak mahu suruhanjaya tersebut, maka jagalah pelakuan. Tetapi mereka tidak henti-henti (membantahnya)," katanya.

Walaupun cadangan penubuhan IPCMC dibantah oleh pihak polis dan Umno, Nazri berharap penubuhan sebuah badan untuk mengendalikan aduan terhadap semua agensi penguatkuasa kerajaan akan dilaksanakan tahun ini.

"Pandangan peribadi saya ialah kita tubuhkan sebuah suruhanjaya aduan salahlaku, tetapi bukanlah untuk polis semata-mata. Itulah pendirian saya," katanya.

Menurutnya, satu delegasi kerajaan sedang mengkaji suruhanjaya seumpama itu di Sweden dan United Kingdom.

Penubuhan IPCMC adalah antara 125 perakuan yang dibuat oleh Suruhanya Diraja Plis pda 2004. Berita asal