Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tujuh lelaki Myanmar proses arak tiruan ditahan

Polis menahan tujuh orang lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket memproses arak tiruan serta membongkar kegiatan mereka di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Kajang, di Georgtown dalam operasi khas semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang hari ini berkata dalam operasi bermula pukul 4.00 petang hingga 5.30 petang semalam, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di hadapan sebuah kedai di Lebuh Victoria sebelum menahan seorang lelaki Myanmar, 50, di sebuah kondominium di Jalan Datuk Keramat.

"Susulan penahanan dua lelaki itu polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Jalan Kajang dan menahan enam lelaki Myanmar berusia 22 hingga 47 tahun dipercayai bekerja di situ untuk memproses arak tiruan pelbagai jenama," katanya di Georgtown hari ini.

Katanya rumah yang disewa sindiket itu untuk memproses arak palsu berkenaan dipenuhi dengan bungkusan plastik hitam mengandungi botol arak pelbagai jenama yang dipercayai untuk diedarkan.

Beliau berkata selain itu, terdapat pelbagai jenis arak di percayai di seludup, bahan kimia dan ramuan yang diisi dalam tong plastik dan disusun di dapur di percayai untuk diproses menjadi arak tiruan.

Che Zaimani berkata polis juga merampas ratusan botol minuman keras lama untuk dikitar semula, pelekat label pelbagai jenis arak dan empat buah mesin penutup botol arak dalam premis tersebut.

"Susulan serbuan tiga serbuan itu, kami percaya telah berjaya menumpaskan sindiket memproses dan membungkus arak tiruan. Sindiket arak itu dipercayai menjadi punca kepada beberapa kes kematian akibat keracunan methanol di Pulau Pinang," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati sindiket memproses arak tiruan dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak empat tahun lalu dan mereka menjual dengan harga murah kepada warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar negeri ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan polis kini sedang memburu seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket itu.

“Setakat ini, nilai rampasan dan juga waktu operasi semua pekerja terbabit memproses arak haram berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Sebelum ini, enam lelaki termasuk dua warga tempatan di laporkan maut akibat keracunan metanol selepas mengambil minuman keras dipercayai buatan sendiri dalam kejadian sejak April hingga 11 Jun lalu.

Mangsa yang maut berusia sekitar 40-an dan terdiri daripada dua warga tempatan, tiga Myanmar dan seorang warga India manakala tujuh lagi warga asing masih menerima rawatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS