Terjemahan Suasana bimbang kini menyelubungi perbincangan mengenai Islam di Malaysia, kata anak perempuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas mengecam layanan terhadap wanita Islam di negaranya.

Aktivis sosial terkemuka, Datuk Marina Mahathir berkata, ianya semakin sukar untuk sesiapa sahaja, kecuali kaum lelaki yang latarbelakang agama, untuk bercakap mengenai Islam di Malaysia, di mana majoriti umat Islam hidup bersama-sama dengan kaum Cina dan India.

"Ini bertentangan dengan semangat Islam. Perkara seumpama inilah yang membimbangkan kita, di mana suara (kumpulan) konservatif lebih dominan manakala orang lain takut," katanya kepada AFP.

"Ia amat menakutkan," tambahnya. "Tetapi jika semuanya tertutup, kita tidak akan ada lagi ruang dan kehidupan kita akan diambil alih oleh orang-orang konservatif," katanya.

Marina membuat komen tersebut selepas kelewatan penyiaran artikel tulisannya di mana beliau membandingkan suasana wanita Islam di Malaysia dengan wanita kulit hitam di bawah pemerintahan apartheid.

"Di negara kami, mulai wujud secara tersembunyi bentuk apartheid di kalangan wanita Malaysia antara wanita Islam dan bukan Islam," tulis beliau dalam kolum mingguannya yang disiarkan setiap Rabu dalam akhbar harian The Star, yang belum lagi disiarkan.

Marina berkata, beliau terdorong untuk menulis artikel tersebut di tengah-tengah bantahan terhadap rang undang-undang yang diluluskan tahun lalu yang menurut para pengkritik, akan memudahkan lelaki Islam berpoligami dan menuntut harta selepas berlaku perceraian.

Diselubungi kebimbangan

Berikutan bantahan tersebut, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam dan membuat semakan lanjut terhadapnya.

Menurut Marina, editornya memandang berat sensitiviti tulisan untuk kolumnya itu, tetapi beliau menjangka ia akan disiarkan dalam akhbar tersebut Jumaat ini.

Bagaimanapun, artikel yang sama telah disiarkan dalam kolumnya dalam akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau semalam sempena Hari Wanita Sedunia.

"Parkara utama bagi saya ialah akhbar-akhbar nampaknya bimbang terhadap sebarang isu berkaitan dengan agama, terutama isu-isu yang berkaitan dengan karton tersebut," katanya merujuk kepada karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW yang disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark.

"Islam adalah satu agama yang menggalakkan dialog dan perbincangan, tetapi apa yang berlaku ialah ruang untuk dialog dan perbincangan itu semakin berterusan mengecil," katanya.

Manakala akhbar the Star pula berkata, editor terbabit tengah sibuk untuk mengendalikan artikel tulisan Marina itu pada masa ini.

Rakyat Malaysia berjumlah 25 juta dengan 60 peratus daripadanya adalah orang Melayu beragama Islam. Kaum Cina dan India pula masing-masing merupakan 26 peratus dan 8.0 peratus dan mereka bebas mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan masing-masing. Berita asal

- AFP