Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman pelucutan hak SPRM: Responden boleh fail afidavit - Latheefa

Mana-mana individu atau entiti yang terlibat dalam kes permohonan perlucutan hak sivil yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh memfailkan afidavit kepada SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, ia bagi membolehkan responden mengemukakan bukti kukuh untuk menyangkal penglibatan mereka dalam skandal melibatkan syarikat pelaburan itu.

“41 responden ada peluang untuk menjawab isu dan kes terhadap mereka. Sesiapa yang ada bukti untuk menunjukkan cerita sebaliknya macam mana duit itu datang... dipersilakan untuk masukkan afidavit dan kita jawab di mahkamah.

“Kalau kita setakat memberi berita melalui media dan sebagainya, itu hanya untuk sekadar sensasi. Masukkan dalam afidavit, baru ia menjadi keterangan yang boleh dipakai di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Ketua Pesuruhjaya SPRM di Istana Negara, hari ini.

Latheefa berkata demikian semasa mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Najib Razak baru-baru ini yang mahu SPRM tampil dengan bukti kukuh terhadap dakwaan berkenaan.

Najib menyatakan beliau​​ ​​​​​mempunyai bukti bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan Kerajaan Arab Saudi.

Pada 21 Jun, SPRM mengumumkan telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun, yang diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri itu.

Kesemua 41 individu dan entiti melibatkan rakyat tempatan termasuk yayasan, syarikat dan parti politik antaranya seperti bahagian Umno, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Beberapa responden sedia kembali dana

Sementara itu, Latheefa turut mendedahkan bahawa ada beberapa responden yang telah menyatakan persetujuan untuk memulangkan semula wang kepada kerajaan tanpa menunggu proses perbicaraan.

“Bagi yang setuju untuk pulang wang, kita boleh rekodkan satu penghakiman persetujuan.

“Kalau peguam mereka menasihatkan bagi sahaja duit itu dan mereka sedia untuk menyerahkan semula duit itu, kami akan rekodkan penghakiman persetujuan di hadapan mahkamah nanti,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS