Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tanah runtuh: 2 mayat ditemui
Diterbitkan:  Jun 26, 2019 8:51 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Dua mayat mangsa kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dekat George Town setakat tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata mayat pertama ditemui kira-kira 11.15 malam tadi manakala mayat kedua ditemui berhampiran mayat pertama pada 12 tengah malam.

“Usaha mengeluarkan mayat giat dijalankan sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Selain Jabatan Bomba dan Penyelamat, operasi mencari dan menyelamat empat mangsa warga Myanmar yang dikhuatiri maut tertimbus dalam kejadian 9.25 malam hari Selasa turut melibatkan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Che Zaimani memberitahu pemberita pemilik Lost Paradise Resort, lokasi kejadian tanah runtuh itu, mengesahkan ada berlaku pergerakan tanah di tebing jalan sejak seminggu lepas.

“Pemilik mengambil inisiatif membaiki tembok penahan tanah itu sendiri selepas menyedari berlaku pergerakan tanah dengan menggaji empat warga Myanmar,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata berdasarkan maklumat, kejadian dikatakan berlaku ketika pekerja berkenaan sedang melakukan kerja-kerja berkaitan di kawasan itu.

Katanya usaha mengeluarkan mangsa dibahagikan kepada dua sektor dengan bantuan sebuah jengkaut untuk mengalihkan tanah.

Saadon berkata operasi SAR ini akan diteruskan jika keadaan cuaca mengizinkan dan tiada berlaku pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

Sehingga tengah malam tadi, cuaca di lokasi kejadian dilaporkan baik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS