Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong bantu mangsa kemalangan
Diterbitkan:  Jun 26, 2019 11:05 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menghulurkan pertolongan kepada mangsa kemalangan jalan raya.

Menurut gambar yang disertakan petikan pada hantaran di Instagram Istana Negara, Sultan Abdullah dalam perjalanan ke mesyuarat pra kabinet bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Lazimnya sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet yang diadakan pada hari Rabu, perdana menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, mangsa kemalangan, Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan turun dari kenderaan rasmi Baginda untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya di kawasan Putrajaya. 

"Alhamdulillah pemandu kereta terbabit, Puan Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius," kata hantaran itu.

Selepas selesai membantu mangsa, baginda dilaporkan meneruskan perjalanan bagi menghadiri mesyuarat pra kabinet tersebut.

Sebelum ini, tular Sultan Abdullah beratur membeli ayam goreng di restoran makanan segera KFC di Temerloh.

Sementara itu Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu yang berlaku di kawasan Susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa di Putrajaya  pagi ini.

Menurutnya kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi dan kenderaan Alza yang dipandu Jasliza, 38, yang sedang dalam perjalanan dari Gombak ke pejabatnya di Presint 2, dikatakan terbabas sendiri semasa tiba di tempat kejadian.

"Ketika itu keadaan cuaca hujan renyai dan secara tiba-tiba kereta itu hilang kawalan, terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan,” kata Rosly.

Menurut Rosly selepas kemalangan, konvoi Seri Paduka yang kebetulan melalui lokasi kemalangan, berhenti untuk melihat keadaan Jasliza.

“Yang di-Pertuan Agong amat prihatin dan turut membantu mangsa kemalangan. Seterusnya Yang di-Pertuan Agong meneruskan perjalanan ke Istana Melawati,” kata Rosly.

 

Lihat Komen
ADS