Seramai 2,500 rakyat Malaysia mengalami sakit buah pinggang setiap tahun, dengan angka kematian seramai 250 setiap tahun.

Kira-kira 10 peratus penduduk Malaysia menderita sakit buah pinggang dengan 90 peratus pesakit terdiri daripada orang dewasa berumur 25 hingga 55 tahun.

Pada masa ini, kira-kira 6,000 pesakit buah pinggang kronik berada dalam senarai menunggu elektronik Sistem Perkongsian Organ Malaysia Hospital Kuala Lumpur (e-MOSS).

"Kami mempunyai 12,000 pesakit yang menjalani dialisis dan separuh daripada mereka dianggap sihat dan sedang menunggu pemindahan buah pinggang," kata Ketua Pengarah Jabatan Nefrologi Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher.

Trend membimbangkan

Menurut laporan Bernama, beliau berkata 1,500 bekas pesakit buah pinggang yang berjaya menjalani pemindahan sejak akhir 1970-an masih hidup sekarang.

Dr Zaki berkata wujud trend peningkatan yang membimbangkan di kalangan pesakit yang berumur 60 dan ke atas berikutan jangka hayat penduduk Malaysia yang lebih lama.

"Penyakit itu semakin serius dan perlu ada langkah pencegahan efektif untuk melambatkan peningkatannya kerana lebih ramai penduduk Malaysia dijangka akan menghidap penyakit buah pinggang kronik di masa depan.

"Orang ramai perlu sedar bahawa apabila kita berjaya mencegah penyakit buah pinggang kronik, pada masa yang sama kita juga mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar," katanya.