Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengesan lokasi baru wabak Chikungunya selepas empat orang lagi terdiri daripada peniaga dan penduduk di Simpang Kuala, Alor Setar disahkan positif virus itu.

Pengarah JKNK, Dr Norhizan Ismail berkata, empat kes terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang positif menghidap penyakit itu ialah 19 orang termasuk 15 yang disahkan di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di Alor Setar sebelum ini.

“Aduan kes di lokaliti berkenaan diterima pada pukul 10 malam kelmarin (Isnin) dan anggota daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turun ke kawasan itu bagi menjalankan siasatan segera.

“Siasatan dan ujian darah mendapati empat individu yang berumur dalam lingkungan umur antara 39-60 tahun disahkan positif Chikungunya dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan hubungkait wabak dengan jangkitan di deretan kedai berdekatan City Plaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, sebanyak 24 premis di kawasan tersebut telah diperiksa dan enam bekas ditemui dengan pembiakan positif di mana empat kompaun telah dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai kompoun sebanyak RM2,000.

Norhizan berkata, bagi kawalan vektor di rumah kedai dekat City Plaza yang bermula pada Ahad hingga semalam pula sebanyak 453 premis telah diperiksa dan 26 bekas ditemui dengan pembiakan positif.

Katanya, sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan di bawah APSPP 1975 dengan nilai RM7,500 kepada pemilik premis yang membiak Aedes.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan dan dinasihatkan untuk mengelak membuat spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya.

Ahad lepas, 23 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki menghidap penyakit chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Bagaimanapun Dr Norhizan berkata 15 daripadanya didapati positif penyakit itu hasil ujian darah yang dijalankan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS