Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rotan pelajar: Guru, ibu bapa dan pelajar bertemu esok

Kes guru merotan seorang pelajar di sebuah sekolah di Iskandar Puteri pada Isnin hampir menemui jalan penyelesaiannya, apabila kedua-dua pihak iaitu pelajar dan ibu bapanya serta guru yang terlibat telahpun mempunyai persefahaman untuk berbincang mengenai isu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor Aminolhuda Hassan, berkata pertemuan untuk membincangkan isu itu akan diadakan di sekolah tersebut esok dan akan turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Ia sebagai mencari jalan penyelesaian 'menang-menang' antara kedua-dua pihak, tanpa melibatkan undang-undang.

Selain itu, ia bagi mengelak timbulnya suasana tidak harmoni di kalangan ibu bapa dan juga guru, kata beliau.

"Kita memang tahu guru ada peranan untuk mendidik, cuma mungkin cara tindakan yang diambil itu mungkin terlebih...Saya pun belum ada, tidak tengok bukti lagi di hadapan saya. Cuma ada laporan. Keduanya, pelajar itu mungkin terlepas kata-kata yang menyebabkan guru tidak berpuas hati sehingga menyebabkannya mengambil tindakan sedemikian.

"Untuk mengatasinya, kita sebagai orang dewasa iaitu ibu ayah serta juga sebagai guru kena bertindak lebih professional, lebih bijak untuk masa depan, bukan saja untuk anak-anak tetapi juga untuk masa depan masyarakat itu sendiri," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyampaian Surat Tawaran Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) Unit Strategik Modal Insan Johor di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu seorang guru merotan pelajar perempuan hingga menyebabkan bahagian lengan dan paha pelajar berkenaan terbirat.

Aminolhuda berkata dalam masa sama, beliau berharap guru-guru akan lebih bersabar dan memahami situasi pelajar sebelum mengambil apa-apa tindakan, dan tindakan itu pula haruslah berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar sentiasa mengambil perhatian terhadap permasalahan anak-anak mereka.

"Guru membimbing dalam bentuk pendidikan manakala ibu dan ayah membimbing di rumah dalam bentuk moral dan tata susila kita sebagai masyarakat timur. Ini penting untuk kita sama-sama memajukan anak sebab guru akan terus mengajar mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh ibu pelajar yang mendakwa dirotan oleh gurunya masih diteruskan.

"Laporan polis memang telah dibuat, kita siasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Walau bagaimanapun, ibu kepada pelajar tersebut telah mengambil keputusan untuk menarik balik laporan, mungkin dia ada perbincangan (selepas itu)," katanya dalam satu sidang media berasingan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS