Ternakan babi: Timbalan Menteri Gerakan jumpa pegawai Kjaan Melaka
Terjemahan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong akan menemui para pegawai kerajaan negeri Melaka untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh penternak babi di negeri itu.
Terjemahan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong akan menemui para pegawai kerajaan negeri Melaka untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh penternak babi di negeri itu.
Ketika dihubungi, Mah (foto) berkata, beliau akan menemui Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Salleh sama ada hari ini atau esok. Beliau telah menemui penternak terbabit semalam.
Kerajaan Negeri Melaka telah mengarahkan supaya kesemua 82 ladang ternakan babi di negeri itu ditutup, melalui surat arahan yang dihantar kepada para penternak bertarikh 1 Mac lalu.
Bagaimanapun, Mah berkata, ladang ternakan babi itu terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan.
Timbalan menteri itu menambah, apa yang boleh dilakukannya ialah menawarkan diri menjadi orang tengah untuk mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.
Aspek kemanusiaan
"Saya berharap kerajaan negeri akan menimbang dari aspek kemanusiaan dan kerugian yang akan dialami penternak terbabit serta menangguhkan dulu tarikh penutupan ladang ternakan tersebut," katanya.
Dalam surat yang dikeluarkan Jabatan Veterinar Melaka itu, para penternak terbabit diberi tempoh dua minggu dari tarikh mereka menerima surat tersebut, untuk menutup ladang ternakan mereka atau disita.
Sebelum itu, dua Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka, dari MCA, Poh Ah Tiam dan Seah Kwi Tong telah campurtangan. Berikutan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu mereka memenuhi tiga syarat tukar status penggunaan tanah, kemukakan pelan draf ternakan dan pelan bangunan.
Bagaimanapun, penternak terbabit tidak dimaklumkan mengenai format pelan tersebut sehinggalah minggu ini. Pelan rekabentuk dan struktur yang diminta oleh majlis perbandaran, mungkin mengambil masa satu bulan untuk disiapkan.
Oleh itu, salah seorang penternak terbabit, Chin Nam Yee berkata, adalah mustahil untuk mengemukakan pelan tersebut sebelum 15 Mac ini.
Selasa lalu, penternak yang tidak puashati dengan arahan tersebut telah mengeluarkan iklan dalam akhbar berbahasa Cina Oriental Daily meminta sokongan orang ramai supaya arahan tersebut ditarik balik.
Agenda politik
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi Bandar Hilir, Goh Leong San mendakwa, kerajaan negeri mempunyai 'agenda politik' untuk menutup industri ternakan babi.
"Kerajaan negeri telah menghentikan mengeluarkan lesen menternak babi selepas 1991. Mereka telah meluluskan resolusi dalam meyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 1999 untuk menutup semua ladang babi di Melaka," kata Goh (foto) ketika dihubungi.
Mengikut surat Jabatan Veterinar Melaka bertarikh 1 Mac lalu, keputusan mengarahkan semua 82 ladang ternakan babi itu ditutup, dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang kelapan pada 10 April 1999.
Goh juga mengecam bekas Ahli Exco Negeri dari MCA dan Ahli Exco sekarang (Poh) kerana tidak membantah resolusi tersebut walaupun turut menghadiri mesyuarat exco negeri berkenaan.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina Sinchew Daily ahli exco negeri dari MCA itu berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri telah berjanji kepada beliau bahawa kerajaan negeri tidak akan menutup ladang ternakan tersebut.
Poh dan Seah tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.