Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Lagi nama akan dimasukkan pada senarai saman lucut hak 1MDB’

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengingatkan Pemuda PAS bahawa senarai saman sivil pelucuthakan yang sebelum ini mempunyai 41 nama individu dan entiti yang diarahkan supaya memulangkan wang 1MDB itu belum muktamad.

Kenyataan itu dibuat susulan sayap pemuda PAS yang menggesa mana-mana individu - termasuk dalam kalangan menteri kerajaan persekutuan - memohon maaf secara terbuka kepada parti itu kerana "memfitnah" parti itu menerima dana daripada 1MDB.

"Dalam senarai itu tidak ada nama individu terkait dengan PAS.

"Kami ucapkan alhamdulillah kerana ketua pesuruhjaya SPRM yang baru telah pun menyatakan yang sama seperti yang sebelum ini, bahawasanya PAS tidak menerima sebarang dana daripada 1MDB.

"Jadi kami memohon kepada mana-mana individu termasuk menteri sekarang yang sebelum ini memfitnah PAS supaya membuat kenyataan maaf secara terbuka," kata Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, pada sidang media di Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Lim hari ini berkata senarai itu hanya permulaan.

"Masih ada nama lain yang belum diumumkan.

"Kami tahu bahawa Penang Free Club juga tidak berada dalam senarai itu tetapi kami tahu ia adalah juga antara penerima dana 1MDB. Kelab itu telah mengaku dan mereka akan membayar balik," kata Lim kepada media di Putrajaya.

"Jangan fikir kamu boleh terlepas jika nama kamu tidak berada dalam senarai pertama," katanya.

SPRM pada 21 Jun lalu memfailkan permohonan kepada mahkamah - mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) - untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Ia merupakan saman pelucuthakan terbesar dalam sejarah negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata wang tersebut diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di AmBank.

Sejumlah 41 saman pelucuthakan telah difailkan dan SPRM setakat ini diberi empat tarikh untuk kes itu didengar secara berasingan - 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS