Persatuan masyarakat sivil hari ini mendesak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca sebenar pencemaran kimia di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pasir Putih Ahmad Yusoff Suparman berkata penubuhan RCI tersebut perlu bagi menangani kebimbangan rakyat berhubung pencemaran kali kedua di kawasan terbabit.

Kata Ahmad Yusoff, penduduk setempat perlukan jawapan kepada isu yang sedang berlaku bagi memastikan keselamatan mereka.

"Kami mahu jawapan kepada apa yang berlaku di sini kerana pihak berkuasa tidak begitu membantu.

“Bagaimana kita hendak kata ia selamat untuk pelajar kembali ke sekolah. Bila kami kata tak mengapalah, kemudian kami kena lagi.

“Pihak berkuasa beri terlalu sedikit maklumat tentang apa yang berlaku. Kami terpaksa tunggu pengumuman mereka jika ia selamat. (Jadi) Kami mahu jawapan kepada apa yang berlaku di sini kerana pihak berkuasa tidak begitu membantu,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insight.

Menurut Ahmad Yusoff, pihaknya juga mahu RCI tersebut dimulakan dengan kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim, dan merangkumi seluruh kawasan perindustrian di Pasir Gudang.

“Kami mahukan RCI, tetapi mereka patut mulakan dengan Sg Kim Kim dan kemudian ke semua kawasan perindustrian di Pasir Gudang," katanya.

Kejadian pencemaran baru-baru ini telah menyaksikan 111 sekolah, tiga institusi pengajian tinggi, dan 347 tadika di kawasan itu ditutup untuk minggu ini memandangkan pihak berkuasa terus memantau kualiti udara.

Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) telah mengeluarkan perintah penutupan sementara tiga kilang kimia di Pasir Gudang selepas mendapati ia berpotensi menyebabkan pencemaran udara.

Sementara itu, Kumpulan aktivis alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula mendesak Putrajaya menubuhkan RCI kerana terdapat dua insiden yang serius dalam tempoh kurang empat bulan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata melihat kepada betapa seriusnya insiden itu, RCI amat penting untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab atas kemusnahan alam sekitar dan menjejaskan manusia, dibawa ke muka pengadilan.