Polis menggunakan meriam air untuk meleraikan kira-kira 2,000 orang yang berkumpul membantah kenaikan harga minyak di ibu negara hari ini.

Pada mulanya mereka berhimpuna di depan Menara Kembar Petronas. Pada kira-kira jam 3.30 petang, mereka berarak menuju ke Hotel Concord di Jalan Sultan Ismail, yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Ketika itu, sepasukan pegawai polis kelihatan cuba menghalang mereka daripada berarak ke sana sehingga keadaan menjadi tegang seketika.

Apabila keadaan menjadi semakin tegang, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bergerak ke arah mereka, diikuti dengan tembakan meriam air untuk meleraikan perhimpunan tersebut.

FRU bertindak

Berikutan itu, orang ramai berlari (foto) mencari perlindungan di bangunan berhampiran manakala pihak polis pula terus mengejar mereka ke arah persimpangan Jalan Sultan Ismail-Jalan Ampang.

Apabila anggota polis beredar dari itu, orang yang menyertai bantahan tersebut, keluar semula daripada bangunan berkenaan dan sekali lagi berkumpul di jalan. Mereka kemudiannya mula melaungkan 'Reformasi'.

Bagaimanapun, mereka beredar selepas diarahkan oleh pihak polis. Tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sebelum itu, mereka membawa slogan mengecam kerajaan ekoran kenaikan harga minyak itu serta membakar bendera Petronas.