Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negara Tommy Thomas berhubung arahan kepada polis untuk mengklasifikasikan semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu pihak polis sedang menyiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan penahanan yang salah, seperti yang diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Berikutan perkembangan ini, saya telah menulis satu lagi surat kepada (peguam negara) Tommy Thomas pada 25 Jun dan kami sedang menunggu jawapannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengkritik sebelum ini mempersoalkan alasan kes itu dibuka semula di bawah Seksyen 342, yang merupakan kesalahan lebih ringan berbanding dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes sivil yang membuat kesimpulan bahawa satu atau lebih individu yang tidak diketahui, termasuk pegawai SPRM, menyebabkan kematian Teoh.

Mereka berpendapat bahawa kes itu perlu disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Lim, yang juga menteri kewangan berkata, beliau telah menulis surat pertama kepada Thomas pada 23 Nov 2018 yang meminta agar kes kematian Teoh dibuka semula berikutan keputusan kabinet pada 20 Jun tahun lepas.

"Peguam negara telah menjawab dalam suratnya pada 4 Disember 2018 bahawa dia telah menulis kepada ketua polis negara pada 17 Julai 2018 untuk berbuat demikian.

"Dalam jawapannya, ketua polis negara menyatakan rasa kesal kerana tidak ada perkembangan dan dia akan menekan polis untuk meneruskan siasatan," katanya.

Lim menambah bahawa tidak ada perkembangan dalam siasatan kes itu walaupun ia beberapa kali dibangkitkan dalam kabinet.

"Walaupun perkara itu dibangkitkan dalam kabinet beberapa kali, iaitu kali terakhir pada 15 Mei 2019, masih belum ada perkembangan baru," katanya.

Lim menegaskan bahawa kematian Teoh adalah melibatkan kepentingan awam.

Pada 16 Julai 2009, Teoh ditemui mati selepas jatuh dari tingkat sembilan ibu pejabat SPRM di Shah Alam, tempat mendiang telah bermalam untuk disoal siasat.

Mendiang adalah pembantu politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan koroner berkenaan dengan kematian Teoh, dan memutuskan bahawa mendiang meninggal dunia akibat jatuh yang boleh disebabkan oleh tindakan melanggar undang-undang dari individu yang tidak diketahui, termasuk pegawai SPRM.

Berikutan keputusan itu, SPRM bersetuju untuk membayar RM600,000 kepada keluarga Teoh untuk menyelesaikan saman atas kecuaian.

Mahkamah juga memerintahkan pihak polis untuk menyiasat kematian itu.

Bagaimanapun, pada masa itu, Jabatan Peguam Negara mendapati tiada unsur jenayah dalam kematiannya.

Baru-baru ini, polis membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.