Jambatan baru yang akan dibina menggantikan sebahagian Tambak Johor di bahagian Malaysia, dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada April 2009.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed yakin jambatan bernilai RM620 juta itu dapat disiapkan dalam tempoh 36 bulan berikutan tiada sebarang masalah teknikal dihadapi setakat ini.

"Mengikut laporan teknikal, taklimat dan hasil lawatan, saya yakin jambatan ini dapat disiapkan sepenuhnya dalam masa 36 bulan," katanya selepas mendengar taklimat dan melawat kawasan projek Gerbang Selatan Bersepadu di Johor Bahru hari ini.

"Dari segi teknikal, keseluruhan pembinaan yang dijalankan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan dan tiada masalah yang akan timbul kelak," tambahnya.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan jambatan "bengkok" itu yang dilakukan dalam perairan negara, kira-kira 20 meter dari perairan antarabangsa, juga tidak akan menimbulkan sebarang masalah teknikal.

Menurut laporan Bernama, Mohd Zin berkata, kerja-kerja asas pembinaan jambatan yang dikenali sebagai "Jambatan Indah" sepanjang 470 meter itu sedang dimulakan dan kini berada di tahap lima peratus.

Laluan sementara

Manakala Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) pula, katanya, yang kini berada di tahap 85 peratus, dijangka dibuka sepenuhnya Januari tahun depan.

Komplek bernilai RM1.266 bilion itu, yang menurutnya turut dilengkapi dengan Terminal Johor Bahru Sentral, akan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) September depan dengan kawalan Kementerian Kewangan, sebelum beroperasi sepenuhnya mulai 1 Januari 2007.

KIK, katanya, akan mula beroperasi sebagai jalan laluan sementara bagi urusan keluar masuk kenderaan sama ada dari Malaysia atau Singapura, bagi menggantikan laluan sekarang.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasinya hanya untuk kenderaan ringan dan mereka yang menggunakan pengangkutan awam.

Manakala kenderaan berat seperti lori, katanya, tidak dibenarkan menggunakan laluan tersebut dan perlu menggunakan laluan pintu masuk sekarang sehingga jambatan dibuka sepenuhnya kelak.

"Jelas pembinaan jambatan ini menguntungkan kedua-dua pihak sama ada Malaysia mahupun Singapura. Apa yang penting, projek pembinaan dapat disiapkan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor yang dianggarkan kira-kira 120,000 kenderaan melaluinya setiap hari dan masalah pencemaran air di Selat Tebrau," katanya.