Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jajaran LRT Pulau Pinang tak ceroboh seinci pun masjid, kubur'

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menafikan pembinaan LRT Bayan Lepas akan menjejaskan Masjid Sungai Nibong Besar dan tanah perkuburan Islam di kawasan kawasan itu.

Projek berkenaan yang menelan kos RM4 bilion akan menghubungkan Komtar ke Bayan Lepas sejauh 30km dan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang menelan belanja RM46 bilion.

Pada sidang akhbar di Komtar hari ini, Timbalan Ketua Menteri II Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, beliau telah bertemu pihak berkuasa berkaitan hari ini untuk membincangkan isu LRT Bayan Lepas yang dikatakan dibina berdekatan masjid berkenaan.

"Kami komited sepenuhnya dan menghormati setiap garis panduan yang diputuskan oleh jabatan mufti negeri sebelum membuat keputusan mengenai rancangan rasmi untuk membina LRT berdekatan masjid.

"Kami kesal penyebaran maklumat, kenyataan media dalam apa juga bentuk oleh mana-mana pihak yang mempunyai niat jahat, serangan fitnah dan tidak berasas, tanpa merujuk atau mendapatkan maklumat tepat atau disahkan daripada kerajaan negeri," tambah Zakiyuddin.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) berkata pembinaan LRT itu tidak akan menceroboh walau seinci pun tanah perkuburan Islam dan masjid di kawasan berkenaan.

Zakiyuddin merujuk bantahan jawatankuasa masjid Sungai Nibong Besar baru-baru ini berhubung rancangan kerajaan Pulau Pinang membina LRT berdekatan masjid berkenaan.

Menurut bendahari jawatankuasa masjid, Mohd Noor Kamarudin, SRS Consortium yang menjalankan kerja-kerja pembinaan bersetuju untuk membina jajaran LRT itu di belakang masjid tersebut.

Mohd Noor dipetik Sinar Harian berkata, keputusan itu dipersetujui bersama oleh jawatankuasa masjid dan SRS Consortium selepas mengambil kira sensitiviti dan bantahan yang diterima oleh penduduk di kawasan itu.

Bagaimanapun, minggu lepas kira-kira 150 orang mengadakan demonstrasi di Komtar apabila mendakwa syarikat itu tidak mematuhi perjanjian bersama, sebaliknya memutuskan untuk membina jajaran LRT di hadapan masjid berkenaan.

Kumpulan itu juga telah menghantar memorandum untuk membantah projek berkenaan kepada Zakiyuddin dan menggesa beliau menyelesaikan perkara itu segera.

Lihat Komen
ADS