Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Isu kaligrafi Cina yang digantung di dinding Pejabat Menteri Kewangan tidak seharusnya menjadi isu utama pelaporan di media.

Ini jelas membuktikan bahawa wujud satu usaha untuk memupuk kebencian bagi membangkitkan sentimen perkauman yang melampau.

Bagaimana mungkin tulisan kaligrafi itu ditafsir sebagai perkara yang tidak baik sedangkan ia hanya memaparkan dua baris puisi yang diterjemahkan seperti berikut:
“Semoga negara makmur dan selamat datang ke era kejayaan” dan “Semoga semua ahli keluarga sihat sejahtera dan perniagaan berkembang maju”.

Penulisan kaligrafi puisi-puisi seperti ini merupakan adat kebiasaan budaya kaum Cina terutama sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Di samping kaligrafi tulisan Cina di Pejabat Menteri Kewangan, pejabat menteri kewangan turut dihiasi tulisan khat petikan daripada ayat al-Quran di dinding serta perhiasan patung- patung Jepun Maneki-neko (patung kucing Jepun).

Apakah perhiasan seperti ini juga tidak sesuai dipaparkan?

Para media perlu lebih arif dan tidak perlu terlalu cepat melatah terhadap umpan perkauman yang berupaya menyensasikan sesuatu perkara yang tidak langsung isu utama dalam negara.

Dalam era Malaysia Baharu, di mana perbezaan kaum dan agama haruslah dirai bersama dan bukannya digunakan untuk memecah belahkan sesama kita.

Laporan berita seperti ini tidak sepatutnya diutamakan dalam media cetak dan media sosial kerana ia lebih cenderung memecahbelahkan rakyat dan bukannya menyatupadukan semua rakyat.

Kritikan yang mendakwa bahawa tulisan kaligrafi cina tersebut sebagai tidak menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sama sekali tidak masuk akal, memandangkan tulisan kaligrafi tersebut sekadar hiasan untuk mengindahkan pejabat.

Hal ini sama sahaja dengan hiasan raya yang dihias di pejabat oleh pekerja-pekerja Melayu sempena menyambut perayaan hari raya di pejabat masing-masing.

Tambahan pula, menteri kewangan dengan inisiatifnya sendiri, telah menganugerahkan elaun sara hidup secara bulanan sebanyak RM5,000 kepada semua sasterawan negara sebagai lambang penghargaan usaha mereka dan dedikasi dalam membina Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menyatukan negara.

Dalam usaha membaik pulih ekonomi negara, melaksanakan reformasi dan membangunkan rakyat, perkara seumpama ini sering diketepikan media dan mengalih pandangan rakyat kepada isu-isu picisan, seperti mana yang berlaku dalam hal kritikan terhadap foto yang mengandungi dua hiasan kaligrafi tersebut.

Perkara sebenar yang hendak disampaikan melalui gambar foto yang dimuat naik adalah kunjungan hormat oleh Presiden Microsoft Corporation Asia Pacific kepada Kementerian Kewangan Malaysia.

Bagaimanapun, media mempunyai kebebasan untuk menentukan setiap laporan mereka.

Namun, diharap pada masa akan datang, kita dapat beralih daripada menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan yang melaga-lagakan masyarakat semata-mata untuk menarik perhatian pembaca.

Di harap juga media tempatan akan lebih matang dan mengabaikan perkara atau isu yang tidak masuk akal yang boleh mengganggu dan memecah belahkan rakyat.

Marilah kita menghormati perbezaan budaya sesama kita dan meraikan kepelbagaian kaum yang menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang unik.


ZAKIAH HANUM KASSIM ialah ketua komunikasi Korporat Kementerian Kewangan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS