Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jakoa: Kerajaan masih tak utamakan pembangunan Orang Asli

Meskipun pembangunan di kawasan petempatan Orang Asli wujud, ia masih belum diberi keutamaan oleh pihak kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Prof Dr Juli Edo, berkata masyarakat Orang Asli masih dihimpit kemiskinan dan masih gagal mendat pembelaan sewajarnya.

"Orang Asli diberi perhatian terhadap pembangunan bagaimanapun keutamaan terhadap masyarakat Orang Asli masih rendah. Misalannya bajet yang diperuntukan agak kecil.

"Jakoa tak diberi perhatian seperti masyarakat bumiputera yang lain, sedangkan mereka juga warganegara dan berhak mendapat pembelaan sewajarnya," katanya ketika ditemui selepas forum 'What Has Led To Kuala Koh Catastrophe' di Kuala Lumpur petang semalam.

Jelas Juli, kemiskinan masyarakat Orang Asli masih gagal ditangani dengan baik dan wujud terdapat jurang yang agak ketara.

Mengulas mengenai kejadian kematian mengejut Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Kelantan baru-baru ini, Juli berkata beliau berpuas hati dengan tindakan kerajaan.

Namun, katanya, kawasan itu masih lagi diletakkan sebagai zon merah kerana penyelidikan mengenai kejadian kematian mengejut itu masih dijalankan.

Tak terima campak sebagai punca

Pada 17 Jun lalu Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian 15 Orang Asli suku Bateq disebabkan wabak yang berlaku dalam komuniti di Kuala Koh, termasuk disebabkan demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes - termasuk tiga kematian yang disahkan setakat ini - membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berdasarkan keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis (tibi), melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

“Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin (Mump, Measles dan Rubela) serta 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

“Pasukan kesihatan sukar memberi perkhidmatan kesihatan menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi,” kata Dzulkefly.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAN), Dr Steven Chow, menolak kematian masyarakat Orang Asli suku Bateq Kuala Koh disebabkan demam campak.

Sebaliknya beliau mendakwa air di kawasan itu tidak selamat untuk digunakan oleh masyarakat Orang Asli.

Katanya, ia berdasarkan kepada dapatan kajian dijalankan pihaknya yang mengambil sampel air di kawasan terbabit.

Beliau yang sudah banyak pengalaman bersama masyarakat Orang Asli mendakwa hanya tiga kematian disebabkan oleh demam campak.

Oleh itu beliau mempersoalkan ketelusan hasil ujian makmal yang dilakukan pihak kerajaan berhubung insiden berkenaan.

Lihat Komen
ADS