Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: Umno tak boleh menang hanya kerana rakyat bencikan PH

Umno tidak boleh mengharapkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hanya dengan kebencian rakyat terhadap PH, kata bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Kata ahli parlimen Rembau itu, Umno perlu mempunyai kekuatan tersendiri untuk meyakinkan rakyat bagi kembali menerajui negara.

Jelas Khairy, kemenangan hanya disebabkan kebencian rakyat terhadap PH tidak akan kekal lama dan pasti akan menerima "kifarah" (balasan) seperti mana kerajaan PH kini.

"Saya tak mahu Umno menang kerana kebencian rakyat terhadap PH.

"Sebaliknya Umno perlu kemukakan tawaran baru untuk rakyat. Umno perlu dilihat seperti 1957 yang memerdekakan negara.

"Kalau nak semai kebencian (pada PH) siapa saja boleh buat. Hari ini orang muda sokong Umno kerana benci kepada PH," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dan Yang Dipertua PAS kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.

BN yang dipimpin bekas perdana menteri, Najib Razak buat pertama kali tumbang dalam PRU lalu selepas lebih 60 tahun menerajui negara.

Ia menyaksikan BN buat pertama kali mucul selaku pembangkang di Dewan Rakyat.

Keputusan itu juga menyaksikan Najib melepaskan jawatannya selaku presiden Umno dan seterusnya menyaksikan parti itu menjalinkan kerjasama politik dengan bekas seteru politiknya, PAS.

Dalam perkembangan isu berasingan, Khairy yang juga merupakan bekas menteri belia dan sukan menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan PH untuk menurunkan had usia mengundi 21 tahun kepada 18 tahun.

Bagaimanapun katanya, sebelum keputusan itu dia buat ia perlu disulami dengan pendidikan politik kepada anak muda yang buat pertama kali menjadi pemilih dalam PRU.

"Secara peribadi saya setuju usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

"Usia 18 tahun sudah boleh bawa kereta, usia 18 tahun sudah boleh jadi ahli Umno, usia 18 tahun boleh berkahwin.

"Kita jangan hina orang muda, kalau had mengundi diturunkan kepada 18, Pemuda dan Puteri (Umno) kena buat kerja (untuk raih sokongan)," katanya.


Lihat Komen
ADS