Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden MCA nafi halang Kojadi pulangkan dana berkaitan 1MDB

Presiden MCA Wee Ka Siong menafikan tuduhan Pengerusi Koperasi Jayadiri Sdn Bhd (Kojadi) Ng Peng Hay bahawa beliau menghalang pemulangan dana 1MDB yang diterima Kojadi.

Wee berkata beliau hanya meminta Ng agar tidak bertindak tergesa-gesa, sebaliknya berunding dengan peguam dan mencapai persetujuan dengan lembaga pengarah sebelum membuat keputusan.

“Saya tak pernah kata kita tidak mahu pulangkan dana, (saya) hanya nak tahu situasi lembaga pengarah, tidak pernah kata apa yang perlu dibuat (mereka)," katanya dalam sidang media di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut menunjukkan mesej yang menurutnya dihantar kepada Ng dan lembaga pengarah Kojadi berkenaan perkara itu, dan mencabar Ng agar menunjukkan bukti campur tangannya dalam urusan koperasi itu.

Wee mengulas kenyataan Ng bahawa beliau mengeluarkan arahan kepada pengarah Kojadi agar tidak mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan geran RM15 juta yang diterima daripada Yayasan 1MDB.

Wee mendakwa Ng menelefonnya pada 27 Jun lalu dan berkata lembaga pengarah Kojadi telah membuat keputusan untuk memulangkan wang tersebut dan akan berbincang dengan SPRM.

"Saya tanya adakah terima surat daripada SPRM? Dia kata tiada, (perbincangan) secara sukarela," katanya.

Jika ada kes yang serius, katanya lagi, ia perlu dilakukan melalui surat rasmi dan bukan sekadar perbincangan telefon dengan pegawai SPRM.

Ng Peng Hay

Wee berkata beliau meminta Ng menimbang perkara itu terlebih dahulu tetapi beliau bertegas mahu memulangkan sebahagian wang yang diterim - RM8 juta - kepada SPRM.

"Ng kata kalau tak bayar balik, dia dan empat syarikat tersenarai yang dimilikanya akan dikenakan Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001)," katanya.

“Takkan Malaysia tiada undang-undang,” katanya sambil menyifatkan penjelasan Ng itu sebagai tidak masuk akal.

Ng sebelum ini berkata cadangan pemulangan itu susulan kenyataan SPRM bahawa mereka mahu memperluaskan lagi senarai pelucuthak ke atas dana berkaitan 1MDB, selepas membuat tuntutan terhadap 41 individu dan entiti sebelum ini.

Bagaimanapun 11 daripada 14 ahli lembaga pengarah Kojadi dalam satu kenyataan berkata wang yang diterima daripada Yayasan 1MDB itu tiada kaitan dengan akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak.

Namun penjelasan itu dipertikaikan Ng selain mendakwa ada ahli lembaga pengarah yang dipaksa menandatangani kenyataan itu.

"Seluruh dunia tahu wang dalam 1MDB, SRC, akaun Najib dan Yayasan 1MDB semua milik rakyat Malaysia," katanya.

'Jangan putar belit'

Wee berkata lagi, Ng tidak seharusnya mengelirukan orang ramai dengan memutarbelitkan kenyataannya serta keputusan lembaga pengarah berkenaan perkara itu.

Katanya, Ng hanya diberi kuasa untuk berjumpa dengan SPRM bagi memahami siasatan berkenaan dana 1MDB.

Beliau harus berbincang dengan MCA pusat dan lembaga pengarah Kojadi sebelum membuat keputusan seterusnya.

Wee berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan lembaga pengarah Kojadi esok dan mengalu-alukan kehadiran Ng.


Lihat Komen
ADS