Paling Popular
Terkini

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad mengambil keputusan mengunci mulut berkenaan isu ' kartel dedak' yang dibangkitkannya Mei lalu.

Ketika ditanya sama ada jawatankuasa disiplin PAS telah memanggilnya bagi menjelaskan dakwaan yang dibuatnya mengenai perkara itu, Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang memilih untuk tidak mendedahkannya.

"Tak boleh, kerana ia adalah arahan parti (untuk tidak mengulas isu berkenaan di media)," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata perkembangan berkenaan perkara itu positif.

Zaharudin mencuri perhatian pada Mei lalu apabila bersuara berkenaan dana daripada Umno yang menurutnya diterima lima pemimpin PAS yang digelarnya sebagai 'kartel dedak'.

Dalam dakwaan yang dibuat menerusi sejumlah hantaran Facebook, beliau tidak merujuk mana-mana individu secara khusus, sebaliknya menamakan mereka sebagai Dr Hussam II, Mr NT, Mr KT, Mr KH dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”

PAS kemudian mengeluarkan arahan melarang semua anggotanya daripada membawa dan membincangkan sebarang isu berkaitan urusan parti di media dan media sosial.

Arahan itu disampaikan setiausaha agungnya Takiyiddn Hassan yang turut mengingatkan anggota parti itu agar menyampaikan pandangan dan kritikan melalui saluran parti.

Takiyuddin juga berkata parti itu akan memanggil Zaharudin untuk meminta penjelasan berkenaan isu itu.

Sementara itu, Zaharudin berkata kerjasama antara PAS dan Umno peting untuk Islam dan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau berkata ia bukanlah perkara baru memandangkan kedua-dua parti itu pernah bersama-sama dalam soal membabitkan agama.

"Saya yakin kerjasama Umno dan PAS mampu memberi kekuatan kepada Islam dan sekali gus kepada masyarakat berbilang bangsa dan agama," katanya.

Lihat Komen
ADS