Umno Sabah berkata semua anggota parti itu perlu menghormati keputusan Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, pengumuman Zahid selaras dengan mandat yang diberikan perwakilan terhadapnya ketika pemilihan parti tahun lalu.

"Saya dan kepimpinan Umno Sabah menyambut baik keputusan presiden untuk kembali bertugas mulai hari ini (semalam)... Sebagai pemimpin dan anggota parti kita mesti menghormatinya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bung yang juga anggota parlimen Kinabatangan berkata misi dan gerak kerja Umno akan diperkuatkan lagi dengan kembalinya Zahid secara aktif dalam kepimpinan parti.

"Saya yakin Umno akan menjadi kuat apabila semua pemimpin dan ahli bersama-sama bekerja. Ini masa untuk kita memperkuatkan parti untuk kembali dan tingkatkan sokongan rakyat kepada Umno," katanya lagi.

Zahid dalam acara Hari Raya Aidilfitri di Bagan Datuk, Perak semalam mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai presiden sempena genap setahun beliau menang dalam pemilihan Umno tahun lalu.

"Oleh itu pada 30 Jun 2019 (hari ini) saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai presiden Umno mulai hari ini. Ini bererti mulai hari ini saya akan menyambung tugas sebagai presiden Umno," katanya.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan berkata beliau menyambut baik keputusan Zahid kerana ia dapat menutup mulut pihak yang menurutnya menjadi cuba melaga-lagakan kepimpinan parti itu.

Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad pada 18 Disember lalu di saat beliau didesak agar meletakkan jawatan.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti pada masa itu serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah pimpinannya.