Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah Zahid kembali semata-mata kerana 'Bossku', soal Kit Siang
Diterbitkan:  Jul 1, 2019 9:45 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid Hamidi merupakan proksi kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini selepas Zahid membuat pengumuman untuk kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno selepas bercuti selama kira-kira  6 bulan.

"Adakah Zahid kini memimpin Umno untuk menunjukkan bahawa pemimpin Umno sudah menyesal dan bertaubat?

"Atau kembali selepas bercuti semata-mata tiada lain kerana 'Bossku' dengan dia memainkan peranan sebagai proksi "Bossku" kerana Najib rasa dia mungkin hilang kawalan Umno," soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

'Bossku' adalah gelaran yang diberikan penyokong Umno terhadap Najib.

Zahid membuat pengumuman itu semalam sempena ulang tahun pertama beliau dipilih sebagai presiden parti.

"Hari ini genap setahun saya dipilih, bukan dilantik, oleh perwakilan Umno seluruh negara (untuk menjadi presiden), maka (tempoh) genap setahun ini cukup signifikan dan penting bagi saya.

"Oleh itu pada 30 Jun 2019 (hari ini) saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai presiden Umno mulai hari ini," katanya.

Lim berkata Najib sebelum itu mempertahankan Zahid apabila beliau mengatakan presiden Umno itu tidak memerlukan persetujuan Majlis Kerja Tertinggi parti untuk membuat kemunculan semula.

“Jadi oleh itu soal dia nak kembali berkhidmat atau bertugas sebagai presiden parti adalah tertakluk kepada keputusan diri dia sendiri, tak perlu persetujuan MT atau pihak-pihak yang lain,” kata Najib semalam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS