Paling Popular
Terkini

KES NAJIB | Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Suboh Md Yasin menandatangani dokumen pelantikan Ihsan Perdana Sdn Bhd sebagai rakan kongsi bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Bangkok, Thailand.

Suboh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau diarahkan berbuat demikian oleh seorang lagi pengarah ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil.

"Dia kata dia mempunyai urusan yang belum selesai terhadap CSR," kata Suboh ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Suboh berkata, seorang warga Thailand telah menyerahkan dokumen mengandungi tandatangan Nik Faisal, yang katanya tidak bertarikh pada masa itu.

"Selepas saya menandatangani (dokumen itu), saya berikannya kembali kepada (warga Thailand berkenaan). Dia menggunakan DHL (untuk perkhidmatan kurier dokumen itu di tempat lain)," kata saksi tersebut.

Ishak kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa dokumen itu bertarikh 24 Nov 2015.

Sebelum ini, (bekas) pengarah Urusan Ihsan Perdana, Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberi keterangan mengatakan beliau diberi kuasa ke atas tiga kiriman wang dari akaun bank syarikat itu kepada AmBank dengan nombor akhir 906 dan 880.

Mahkamah menetapkan bahawa kedua-dua akaun itu milik Najib Razak, yang didakwa atas salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mambabitkan aktiviti SRC International.

Semasa perbicaraan, Suboh juga mengesahkan telah menandatangani beberapa arahan bank agar SRC International memindahkan wang ke Gandingan Mentari Sdn Bhd antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Gandingan Mentari merupakan anak syarikat SRC International yang sepatutnya mengendalikan urus niaga hartanah. Suboh dan Nik Faisal adalah pengarah di Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Suboh memberi keterangan bahawa beliau berbuat demikian sama ada atas nasihat atau arahan daripada Nik Faisal.

Ishak: Jadi kamu (tandatangani) kerana kamu hanya ikut (arahan daripada Nik Faisal)?

Suboh: Saya (hanya) ikut (arahan).

Terdahulu, Suboh memberitahu mahkamah bahawa warga Thailand yang sama beliau temui di Bangkok telah mengaturkan agar beliau pergi ke Abu Dhabi, UAE.

Saksi itu berkata beliau tidak pasti mengapa dihantar ke UAE pada masa itu, tetapi mendapati beliau ditemubual SPRM tidak lama selepas beliau tiba.

Suboh memberi keterangan bahawa beliau juga tidak pasti mengapa SPRM memilih untuk menemubualnya ketika berada di UAE.

Bulan lalu, Suboh memberi keterangan bahawa beliau melarikan diri ke Bangkok ketika siasatan SPRM ke atas SRC International bermula kerana "takut" dengan Najib.

Suboh juga memberi keterangan bahawa beliau tinggal di Abu Dhabi selama seminggu sebelum kembali ke Bangkok. 

Beliau kembali ke Malaysia selepas pilihan raya umum pada Mei 2018. 

Lihat Komen
ADS