Pemuda MIC menyatakan kesediaan untuk menyokong usul penurunan umur mengundi di Malaysia daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan syarat mewujudkan satu dasar pendidikan politik yang konklusif.

Ketuanya, R Thinalan berkata bahawa pergerakan Pemuda MIC Malaysia ingin mencadangkan agar mewujudkan satu dasar pendidikan politik yang konklusif dengan tujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran politik serta memahami kepentingan undi dalam menentukan peranan kerajaan.

"Salah satu langkah penting yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah dengan memperkenalkan subjek Pendidikan Politik ataupun pengawalan pengenalan subjek Pengajian Am sendiri kepada pelajar tingakatan 4 dan 5 di sekolah, berbeza dengan amalan sedia ada untuk hanya memperkenalkan subjek Pengajian Am kepada pelajar Tingkatan 6.

"Tindakan mengawalkan pengenalan kedua-dua subjek ini akan jelas membantu meningkatkan kesedaran politik belia - belia yang berusia 20 tahun dan ke bawah secara lebih mendalam," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut cadangan kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun melalui pindaan pada Perkara 119 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan untuk bacaan pertama dalam sidang Dewan Rakyat kali ini, Thinalan memberitahu bahawa usaha ini perlu berdasarkan "niat baik" antara pihak kerajaan dan pembangkang.

"Kerajaan perlu memahami dan mengakui bahawa usaha pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi ini memerlukan sokongan sekurang - sekurangnya 2/3 Ahli Parlimen.

"Bermaksud kerajaan PH memerlukan sokongan pembangkang untuk meluluskan pindaan ini. Maka, usaha ini perlulah berdasarkan 'good will' di antara kedua - dua pihak yang terlibat dan bukannya demi kepentingan agenda politik kumpulan tertentu sahaja," tambah beliau.

Sementara itu, beliau juga mencadangkan kerajaan untuk memperkenalkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik selepas seseorang warganegara memasuki had umur mengundi.

Katanya, berdasarkan laporan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat hampir 3.6 juta rakyat Malaysia belum berdaftar sebagai pemilih.

"Jumlah undi ini hampir sama dengan jumlah undi yang kita jangka untuk dapati melalui inisiatif 'undi 18'.

"Maka, pergerakan Pemuda MIC Malaysia ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan proses pendaftaran pengundi secara automatik agar lebih ramai warganegara yang layak mengundi akan sekurang-kurangnya mengambil inisiatif untuk menjalakan hak sivik sebagai seorang warganegara," ujarnya.