Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempertahankan tindakan operasi mereka ke atas sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur tahun lalu dan menegaskan, ia dibuat mengikut undang-undang.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini bagi mengulas laporan Malaysiakini semalam, LHDN berkata langkah diambil pegawai agensi itu selaras dengan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Berdasarkan kepada semakan awal terhadap kes siasatan yang dilaporkan oleh Malaysiakini, operasi siasatan yang dimaksudkan itu dilaksanakan secara professional," kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Sabin Samitah.

Menurut Sabin operasi tersebut dilakukan selepas pihak mereka memberi pertimbangan kepada semua maklumat dan bukti risikan yang dianalisis.

"Hasil siasatan mendapati pembayar cukai dan syarikat milik beliau telah gagal mengisytiharkan pendapatan daripada perniagaan yang melibatkan sejumlah pelarian cukai yang besar," katanya merujuk kepada operasi yang dijalankan pada Mac 2018 itu.

Bagaimanapun, katanya, LHDN tidak dapat mendedahkan butiran hal itu kerana tertakhluk kepada kerahsiaan mengikut Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan.

Semalam Malaysiakini melaporkan sebuah kolej swasta mendakwa LHDN menjalankan operasi ala gangster di presmis mereka dan meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng campur tangan.

Menurut jurucakap kolej itu, Matim Md Mahmudul, bekas menteri kanan mungkin menjadi dalang di sebalik insiden yang terjadi ketika negara ini masih di bawah pentadbiran BN.

Mengimbas insiden berkenaan, Matim mendakwa, pegawai LHDN mengugut untuk menembak pensyarah, mengurung pelajar untuk beberapa jam dan cuba memujuk kseorang pembantu rumah untuk mengaku mempunyai hubungan sulit dengan pemilik kolej terbabit.

“Akibatnya, kolej kami rugi berjuta kerana pendaftaran pelajar baru terjejas teruk sehingga 90 peratus pada dua sesi pengambilan pelajar,” katanya kepada Malaysiakini.

Kata Sabin LHDN tidak lagi menjalankan lawatan mengejut sejak Malaysia ditadbir oleh PH pada Mei tahun lalu.

Ketika ini katanya tiada lagi lawatan mengejut dibuat LHDN ke atas mana-mana pembayar cukai.

"LHDN juga sedang mempertimbang dan mengkaji secara serius dakwaan-dakwaan yang dibuat serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk mencemar imej dan nama baik agensi ini dengan membuat dakwaan yang tidak benar," katanya lagi.