mk-logo
Berita
Pasir Gudang: Pihak berkuasa masih bingung cari punca simptom pelajar
Diterbitkan:  Jul 3, 2019 2:17 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Pihak berkuasa kesihatan negeri Johor masih bingung mencari punca kepada simptom pening dan muntah-muntah yang dialami oleh pelajar-pelajar di Pasir Gudang, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, 85 pasukan pakar yang dikerah di kawasan sekolah berisiko tidak dapat mengesan bahan kimia utama.

“Ada sekolah, bacaannya sifar, tapi tetap ada juga pelajar alami simptom.

“Malah, semua sampel darah dan air kencing yang diambil daripada pelajar juga menunjukkan hasil negatif.

“Bagaimanapun, kita masih teruskan proses pengesanan di 85 sekolah tersebut,” katanya dalam sidang media semalam, seperti dilaporkan The Star.

Katanya lagi, daripada 90 kilang kimia yang diperiksa, 81 daripadanya didapati melakukan sekurang-kurangnya satu kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan 71 kompaun, empat notis dan enam amaran supaya mereka hentikan operasi.

“Pemeriksaan masih berjalan,” katanya lagi.

Untuk rekod, terdapat 2,005 kilang di Pasir Gudang, dan 250 daripadanya merupakan loji kimia.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada Isnin lalu berkata, kerajaan tidak akan meluluskan sebarang permohonan baru untuk membina kilang kimia di Pasir Gudang bagi memastikan pembangunan lebih lestari di kawasan terbabit selepas ini.

Beliau turut berkata akan membentangkan kertas kabinet pada Jumaat ini untuk mendapatkan dana bagi tujuan menubuhkan satu sistem pemantauan bahan pencemar automatik.

Kemampuan kerajaan dalam mengendalikan krisis berhubung kesihatan dan pencemaran alam sekitar mula dipersoalkan, terutamanya dalam pengendalian insiden pencemaran di Sungai Kim Kim.

Antara perkara yang dibangkitkan pengkritik ialah tiadanya tindakan terhadap pengusaha kilang kimia di kawasan tersebut.

Yeo semalam turut berikrar akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan imej di media sosial mengaitkannya - melalui suaminya-  dengan kilang kimia 101 Group di Pasir Gudang.

Suami Yeo, Lee Yeow Seng, merupakan ketua pegawai eksekutif IOI Properties Group dan anak bongsu kepada bekas pengerusi eksekutif OIO Grioup, Lee Shin Cheng yang meninggal dunia 3 Jun lalu.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini