Bekas Peguam Negara (AG) Mohamed Apandi Ali mendakwa pasukan perundangan negara telah membuat persediaan untuk berhujah dalam kes semakan kehakiman terhadap status Pulau Batu Puteh di Mahkamah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun lalu, namun kemudian Malaysia mengambil keputusan menarik diri tanpa diketahui sebabnya.

Semakan kehakiman itu dibuat terhadap keputusan ICJ pada 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca).

Katanya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil keputusan sendiri pada tahun lepas tanpa merujuk terlebih dahulu kepadanya atau kepada kabinet.

Keputusan itu, katanya, menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan terhadap pulau itu “buat selama-lamanya”.

“Kes di ICJ pada mulanya telah ditetapkan untuk pendengaran hujahan pada 11 Jun 2018. Pada bulan Mei saya selaku Peguam Negara telah diarah untuk bercuti, dan semasa saya berada dalam cuti Tun Mahathir telah buat keputusan untuk tarik balik kes rujukan di ICJ itu tanpa rujukan kepada saya atau pun kabinet.

“Pada masa itu kesemua pasukan peguam, termasuk beberapa orang QC (Queen’s Counsel) telah bersiap sedia untuk berhujah di The Hague.

“Dengan penarikan kes rujukan itu maka kita kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh buat selama-lamanya. Sungguh sedih sekali. Apakan daya itu keputusan orang yang berkuasa,” katanya di media sosial.

Dia berkata demikian dalam satu komen yang ditinggalkan di hantaran Facebook bekas perdana menteri, Najib Razak semalam.

Dalam hantaran tersebut, Najib berkongsi rentetan tuntutan Pulau Batu Puteh sambil menempelak kerajaan PH yang menurutnya tidak konsisten dan bermain “U-turn” berhubung isu kedaulatan dan hak negara dengan keputusan yang disifatkan sebagai “sekejap begini, sekejap begitu”.

 

“Tak konsisten langsung. Rakyat dan negara-negara asing pun konpius (keliru). Please make up your mind,” kata Najib di Facebooknya.

Semalam, Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan kerajaan masih komited dalam isu Pulau Batu Puteh.

Katanya, kerajaan akan memfailkan semakan kehakiman berhubung status Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di mahkamah antarabangsa.

[Baca berita penuh]