Kenyataan Mat Sabu 'we can't fight them' riuhkan Dewan
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menafikan dirinya memperkecilkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan kenyataannya ketika menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 di Singapura baru-baru ini.
Menurutnya, kata-kata ‘we can’t fight them’ itu bukan bermaksud merendah-rendahkan keupayaan tentera negara.
“Keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman termasuk dari luar.
“Malaysia tetap dengan pendirian berbaik dan tidak campur tangan dengan kuasa lain, sebaliknya negara kita terus memberi tumpuan kepada mencari penyelesaian berhubung keselamatan Asia Tenggara dan antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad menjawab soalan Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu maksud ‘we can’t fight them’ itu.
Bagaimanapun keadaan riuh apabila Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mendesak penjelasan lanjut berhubung kenyataannya itu.
“Maksud fight ini berperang, apakah kita bersedia untuk berperang terutama dengan negara kuasa besar? Ya kita boleh bercakap (semata-mata), saya masa pembangkang dahulu pun lebih hebat bercakap berbanding di sana (parti politik lawan).
“Tetapi kita kena lihat keupayaan dan kalau boleh kita mendahului dengan pendamaian, kenapa kita memilih peperangan. Ini selalu yang disebut oleh bekas pemimpin saya dulu daripada Marang (Presiden PAS, Abdul Hadi Awang).
“Kita dahulukan pendamaian daripada peperangan. Kalau kita kata kita kuat, kita berperang, kalau tunjuk kekuatan padahal tidak kuat, akhirnya kita akan dipermainkan.
“Sebab itu kita mendahului dengan diplomasi. Tetapi dengan parti politik belah sana (pembangkang), saya akan lawan sampai bila-bila,” katanya sambil mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat pembangkang.
Sementara itu, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan sedang menyediakan kertas putih pertahanan bagi membentangkan keperluan keupayaan ATM untuk 10 tahun akan akan datang.
Katanya, kertas putih itu akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat akan datang.






