Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berpendapat hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri layak membahaskan isu 'fatwa' salah seorang pemimpin kanan parti itu berhubung kewajiban menjatuhkan kerajaan PH.

Ditemui media di lobi parlimen hari ini, Tuan Ibrahim berkata jika semua pihak mahu mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan, tokoh yang sesuai untuk berdepan dengan Ketua Ulama PAS Pusat, Nik Zawawi Salleh, ialah Dr Mujahid Yusof.

“Kalau kita nak cari jalan penyelesaian, kita kena duduk dan bincang secara ilmiah, dan yang sesuainya adalah mereka berdua (Mujahid dan Nik Zawawi), bukan orang lain," katanya.

Tuan Ibrahim menambah jika ada orang lain yang dikemukakan, ia tidak mencapai "standard" yang diharapkan.

“Orang lain itu tidak ada standard pun dari segi itu, kalau nak bincang dari segi konteks nak mencari penyelesaian,” katanya.

Semasa menggulung perbahasan di akhir muktamar PAS pada 23 Jun lalu Nik Zawawi menegaskan "wajib" untuk parti itu menjatuhkan PH dan meminta tiada mana-mana pihak berkhilaf mengenainya.

Susulan itu beberapa hari kemudian ada Nik Zawawi berkata beliau sedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak dari PH dengan syarat ia dibuat secara langsung di TV dan diadakan di kawasan terbuka seperti stadium.

Bukan benda pelik

“Saya bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak dari kerajaan PH pada bila-bila masa secara terbuka di televisyen dengan syarat mesti disiarankan secara langsung atau di tempat terbuka seperti stadium dan seumpamanya.

“Insya-Allah saya akan jelaskan apa nas dan dalil secara terperinci melalui kaedah dalam agama," katanya.

Pendakwah bebas yang juga anggota PKR, Wan Ji Wan Hussin, kemudian menawakan diri untuk membahaskan isu berkenaan. Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin, juga dicadangkan.

Bagaimanapun tawaran itu ditolak. Beberapa pemimpin kanan PAS juga menganggap Nik Zawawi wajar berbahas dengan orang yang setaraf dengan beliau. Justeru nama Mujahid dicadangkan.

Kata Tuan Ibrahim lagi, sebenarnya tidak ada apa isu patut timbul jika parti pembangkang mengajak penyokong mereka menjatuhkan kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, kalau mereka mencadangkan kerajaan sedia ada dipertahankan, ia akan menjadi sesuatu yang pelik.

"Saya fikir benda ini nonsense (mengarut) dan tak ada isu sangat," katanya.