Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memantau keadaan mangsa-mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas, termasuk Irfan Wafiy Idham Wazir, yang kini dipercayai mempunyai penyakit MyoKimia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pihaknya juga bercadang untuk bertemu kanak-kanak berusia 12 tahun itu yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia.

“Kami akan jumpa dan pastikan sebarang bantuan yang mereka perlukan.

“Kami juga akan melihat apa sebenarnya yang berlaku (terhadap kanak-kanak berkenaan), ” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Aqabah, di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata pihaknya memantau keadaan kanak-kanak itu sehingga hari ini dan kanak-kanak itu juga mendapat rawatan susulan dari Hospital Sultan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan keluarga kanak-kanak berkenaan yang mengatakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa seakan-akan melepaskan tangan terhadap nasib Irfan Wafiy, selain turut mendakwa tidak mendapat sebarang bantuan.

Semalam, Irfan Wafiy dilaporkan terbatas pergerakannya setelah disahkan menghidap MyoKimia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar.

Irfan Wafiy merupakan mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang paling lama dirawat di HSI iaitu kira-kira 10 hari.

Terdahulu, ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata sejak menjadi mangsa pencemaran tersebut, kehidupan anak keempat daripada lima beradik itu yang dahulunya periang, kini bertukar suram.

Jelasnya, murid darjah enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu kini masih mendapat rawatan susulan daripada lapan pakar di HSI.

-Bernama 

Lihat Komen
ADS