Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Teori 'pulau haba' dikaitkan punca simptom Pasir Gudang
Diterbitkan:  Jul 4, 2019 12:05 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Sekumpulan jururunding alam sekitar mendakwa pencemaran udara terbaru yang terjadi di Pasir Gudang disebabkan oleh fenomena ‘pulau haba’.

Pembentukan 'pulau haba' atau ‘heat island’ ini dikatakan disebabkan pelepasan bahan tercemar daripada aktiviti perindustrian di kawasan itu yang dilihat mencapai tahap tepu.

Jururunding SOx NOx Asia Sdn Bhd, Tan Poh Aun berkata, daya dukung (carrying capacity) di daerah terbabit sudah mencapai tahap maksimum biarpun pelepasan bahan tercemar masih mematuhi had ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Udara panas berlaku di kawasan perindustrian tetapi di sekeliling atau luar kawasan itu berudara sejuk. Perbezaan suhu menyebabkan bahan tercemar tidak keluar sebaliknya terkepung [...] dan tidak mampu terurai (seperti lazimnya berlaku di kawasan peridustrian biasa),” katanya seperti dipetik BH.

Memburukkan keadaan, kata pakar kualiti udara dan bau itu, kawasan tersebut tidak mempunyai banyak angin untuk menolak keluar bahan tercemar daripada pulau haba tersebut.

“Ketika ini musim peralihan monsun [...], disebabkan Pasir Gudang terletak bersebelahan selat, akan ada bayu laut pada waktu pagi yang menolak udara di kawasan perindustrian ke kawasan petempatan penduduk pada waktu pagi.

“Teori ini dikuatkan lagi apabila kebanyakan mangsa adalah pelajar sekolah pada waktu pagi [...],” katanya lagi yang mengesan kewujudan pulau haba itu selepas menjalankan simulasi semula untuk mencari punca utama pencemaran di Pasir Gudang.

Di Pasir Gudang, ketika musim peralihan monsun, angin bergerak dari arah selatan (laut) ke arah utara (petempatan penduduk).

Sementara itu, jururunding Tri EcoEdge Sdn Bhd, Ir Mazura Mazlan dipetik sebagai berkata, selain tiga gas luar biasa yang dikesan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), mungkin ada gas pencemar lain yang belum dapat dikesan setakat ini.

“Aktiviti industri di daerah itu sudah berada pada tahap tebu sehingga membentuk pulau haba.

"Apabila terjadi situasi itu, kemungkinan bahan kimia yang terperangkap akan saling berinteraksi, membentuk bahan kimia atau gas berbahaya yang menjejaskan kesihatan manusia,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS