Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno memang perlu jual saham Media Prima - Najib

Bekas presiden Umno Najib Razak berkata penjualan kepentingan parti itu dalam Media Prima Berhad memang satu keperluan.

Katanya, ini memandangkan konglomerat media itu tidak lagi mesra atau berada dalam kawalan Umno.

"Satu keperluan untuk Umno berbuat demikian.

“Media Prima dah tidak ada dalam kawalan Umno lagi," katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Justeru, katanya, pemilikan saham minoriti juga tidak lagi mempunyai sebarang makna.

Sementara itu Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata parti itu sedang dalam proses menstrukturkan semula portfolio pelaburannya.

"Sebagai parti politik kami perlu merancang untuk masa depan. Ada banyak perkembangan berlaku berhubung pelaburan Umno," katanya di parlimen hari ini.

Bagaimanapun anggota parlimen Ketereh itu enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

"Semuanya sulit, portfolio pelaburan Umno tidak boleh didedahkan dan ia membabitkan pemegang taruh lain.

"Sesetengahnya berada bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti," katanya.

Setakat 31 Julai 2018, pemegang saham majoriti Media Prima ialah kerajaan melalui syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

MOF Inc memiliki 11.09 peratus saham, manakala KWSP 11.99 peratus.

Lihat Komen
ADS