Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedia meneliti cadangan mengadakan inkues terhadap kematian 15 Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, baru-baru ini ditolak kerajaan Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah berkata cadangan inkues kes itu sekali gus bermakna KDN mempertikai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

Lebih daripada itu, Mohd Amar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada agenda tersembunyi di sebalik cadangan mengadakan ikues tersebut.

"Saya tidak faham apa tujuan mahu dibuat inkues sedangkan laporan hasil Jabatan Kimia juga sudah dimaklumkan kepada umum.

"Jadi saya berasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian dan saya tidak menolak kemungkinan ada agenda lain di sebalik cadangan berkenaan," katanya kepada media selepas merasmikan Taman Memorial dan Tugu Peringatan Keamanan Malaysia-Jepun di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar di majlis perasmian di Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman, di Dewan Rakyat semalam yang menyatakan sebarang keputusan mengenai inkues akan diputuskan selepas KDN menerima keputusan bedah siasat dan laporan kimia berhubung kematian berkenaan.

Kata Mohd Azis, KDN sedia mempertimbangkan cadangan mengadakan inkues tersebut supaya masyarakat mengetahui punca sebenar kematian berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang meminta KDN mengadakan inkues, sama ada secara terbuka atau tertutup berhubung kes berkenaan supaya mahkamah koroner boleh membuat keputusan mengenainya.

Mohd Amar berkata, laporan kerajaan mengatakan sumber air di perkampungan Kuala Koh adalah bersih dan perkara itu sudah jelas dan tidak perlu dipertikaikan.

Katanya, kerajaan negeri mengesyaki ada pihak tidak berpuas hati dengan laporan yang didedahkan itu dan seolah-olah mahu mencari salah Kelantan.

Beliau juga mendakwa, ketika ini masih ada pihak mengambil sampel air di kawasan itu untuk tujuan tertentu.

"Kami merasakan ada agenda politik, sedangkan isu yang sepatutnya diberi tumpuan adalah pencemaran di Pasir Gudang apabila kejadian sama berulang," katanya.

Lihat Komen
ADS