Dewan Rakyat luluskan pindaan PAA sebulat suara
Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 yang melibatkan dua pindaan.
Pindaan pertama melibatkan pemberitahuan yang perlu dihantar kepada polis oleh pihak penganjur, dikurangkan kepada lima hari berbanding cadangan awal tujuh hari.
Sebelum ini, di bawah Seksyen 9 (1) PAA, penganjur sesuatu perhimpunan perlu memaklumkan kepada pihak polis 10 hari sebelum perhimpunan tersebut diadakan.
Pindaan kedua pula melibatkan tempoh masa jawapan polis kepada penganjur yang dikurangkan daripada lima hari pada masa ini kepada tiga hari.
Pindaan berkenaan dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin semasa peringkat jawatankuasa rang undang-undang (bacaan ketiga).
"Setelah ambil kira pandangan yang berhormat saya kira untuk langkah pertama nak menurun (pemberitahuan kepada polis) daripada 7 hari yang dicadangkan kepada lima hari adalah munasabah," katanya.
Anggota parlimen dari kedua-dua belah pihak menggesa kerajaan mengurangkan tempoh pemberitahuan.
Anggota Parlimen BN, Noh Omar mencadangkan notis satu hari diberikan penganjur sesuatu perhimpunan manakala anggota parlimen Pakatan Harapan, Chang Lih Kang meminta notis tiga hari diserahkan kepada polis.
Chang juga menggesa kerajaan membenarkan kanak-kanak menyertai perhimpunan aman.
Akta sedia ada mengharamkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun mengambil bahagian dalam sesuatu perhimpunan.
Bagaimanapun, dalam jawapannya, Muhyiddin berkata kerajaan tidak berhasrat meminda peruntukan itu demi menjaga keselamatan kanak-kanak.

