Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rayhar Travels Sdn Bhd menjadi yang pertama dari 41 responden dalam saman pelucutan hak 1MDB membantah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana membenarkan pewartaan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam kes itu.

Peguam agensi pelancongan haji dan umrah itu, Md Yunos Shariff memberitahu pesuruhjaya kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh, bahawa membenarkan pewartaan sebelum mendengar responden akan dianggap sama dengan pengakuan salah.

"Kebimbangan utama kami ialah dengan notis usul (saman pelucutan hak) yang disokong oleh afidavit dan kebenaran mahkamah (untuk mewartakan notis pihak ketiga) tanpa membenarkan responden untuk respons, sama dengan pengakuan bersalah responden," kata Yunos.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nik Haslinie Hashim berkata pewartaan notis itu hanya bertujuan untuk membenarkan pihak ketiga hadir dan menyatakan minat mereka terhadap harta yang dipertikaikan.

Terdahulu, beliau membuat permohonan di bawah Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 untuk tarikh pewartaan notis bagi pihak ketiga yang berminat dalam perkara itu.

Seksyen 61 (2) menyatakan bahawa mahkamah membuat perintah pelucutan hak di bawah Seksyen 55, atau hakim yang mendengar suatu permohonan dibuat di bawah Subseksyen 56 (1), hendaklah menyiarkan notis dalam warta yang memanggil mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam harta itu untuk hadir di mahkamah.

"Notis itu hanya bagi membolehkan pihak ketiga datang dan merekodkan tuntutan dan kepentingan mereka dalam harta itu.

"Oleh itu, mahkamah boleh mendengar dan menentukan (atas sebarang bantahan oleh responden) selepas pengeluaran notis itu.

""Ia (notis pihak ketiga) hanya untuk makluman kepada pihak ketiga," kata Haslinie.

Md Yunos kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan arahan selanjutnya dari Rayhar Travels kerana orang-orang yang menjalankan agensi itu kini berada di Mekah dan Madinah, Arab Saudi, untuk menguruskan jemaah haji di sana.

Ahmad Shahrir kemudian menetapkan 1 Ogos untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan dan menentukan sama ada pengambilan notis pihak ketiga itu dibenarkan.

Rayhar Travels sebelum ini berkata pihaknya sudah pernah disiasat untuk pakej umrah untuk rakyat Pekan yang ditaja "oleh seorang individu" pada tahun 2013.

Turut hadir bagi pengurusan kes di hadapan mahkamah yang sama pada pagi ini adalah bagi saman 1MDB terhadap Umno Kelantan, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Yayasan Tun Hussein Onn, IPG Mediabrand Sdn Bhd, Akademi Pemuda dan Sim Sai Hoon atau Rita Sim yang merupakan pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd.

Sebagai respons permohonan Nik Haslinie untuk mengumumkan notis pihak ketiga, tiada bantahan telah dibangkitkan oleh Umno Kelantan, PBRS, Yayasan Tun Hussein Onn, dan IPG Mediabrand melalui peguam mereka.

Nurul Hazreen Ahmad Kamal, Lavinia Kumaraendran, Nurfazreen Hazrina Rahim dan G Rajasingam masing-masing mewakili Umno Kelantan, PBRS, Yayasan Tun Hussein Onn, dan IPG Mediabrand.

Ahmad Shahrir membenarkan permohonan pihak pendakwa mengumumkan notis pihak ketiga dalam saman terhadap Umno Kelantan, PBRS, Yayasan Tun Hussein Onn, dan IPG Mediabrand.

Pesuruhjaya kehakiman kemudian menetapkan 5 Sept untuk pengurusan kes saman terhadap empat responden.

Ahmad Shahrir menetapkan 18 Julai untuk pengurusan kes bagi Sim dan Akademi Pemuda untuk melantik peguam mewakili mereka dalam saman itu.

Walaupun Sim diwakili oleh peguam Kenneth Koh awal hari ini, peguam itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan dapat terus mewakilinya dalam perkara itu, oleh itu perlu dilantik peguam lain.

Seorang saksi dalam perbicaraan antarabangsa SRC Najib yang sedang berlangsung ketika ini sebelum ini memberi keterangan bahawa dia menerima RM300,000 daripada bekas PM untuk menjalankan analisis harian akhbar vernakular China dari Disember 2014 hingga Januari 2015.

Akademi Pemuda adalah pemikir untuk menyokong Pemuda Umno.

Mengikut catatan pada 2009 di laman webnya, ia diketuai oleh Khairul Azwan Harun (kini seorang senator) dan antara ahli jawatankuasanya ialah Shahril Hamdan, yang kini merupakan timbalan ketua sayap pemuda.

Ketua Pemuda Umno pada masa itu adalah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

IPG Mediabrand adalah agensi pemasaran antarabangsa dengan pejabat di Petaling Jaya, Selangor.

Ditubuhkan oleh sebuah akta parlimen pada tahun 2017, Yayasan Guru Tun Hussein Onn adalah yayasan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan yang menggantikan Dana Penyokong Guru, dengan tujuan utamanya adalah memastikan kebajikan dan pembangunan profesional guru.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS