Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri putuskan tentang PSC lepas jumpa PM

Ketua pembangkang Ismail Sabri berkata beliau akan memutuskan sama ada akan meletak jawatan dari Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai Pelantikan Awam Utama selepas jawatankuasa itu bertemu dengan perdana menteri.

Ahli parlimen Bera itu memberitahu Malaysiakini bahawa jawatankuasa berkenaan telah memutuskan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggesa agar PSC diberi peranan yang jelas.

Kata Ismail, beliau akan menunggu pandangan dan keputusan Mahathir mengenai perkara itu sebelum memutuskan sama ada untuk terus berada di PSC.

"PSC akan bertemu dengan PM untuk menyampaikan hasrat kami untuk peranan yang lebih jelas dan mempunyai kuasa, seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH.

"Antara terma dan rujukannya ialah sebelum semua pelantikan ke jawatan penting kerajaan dan pejabat badan bebas dibuat, ia mesti terlebih dahulu dikaji dan diperiksa oleh PSC sebelum PSC membuat saranan kepada PM.

"Ini (terma dan rujukan) akan dibangkitkan semasa pertemuan dengan PM dan saya akan mendengar apa pandangannya dan keputusannya, selepas itu saya akan membuat keputusan," kata Ismail.

Pada bulan lepas, naib presiden Umno itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan Putrajaya mengenai beberapa pelantikan awam utama yang dibuat tanpa terlebih dahulu merujuk mereka kepada PSC, termasuk pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Menyifatkan pelantikan Latheefa sebagai menjadikan PSC sebagai 'rubber stamp' semata-mata, Ismail memberitahu akhbar berbahasa Cina Oriental Daily bahawa dia akan meletak jawatan dari jawatankuasa itu selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Lihat Komen
ADS