Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menyerahkan maklumat terbaharu mengenai dakwaan individu berprofil tinggi yang terlibat dengan amalan rasuah kepada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor berkata, SPRM negeri akan menjalankan siasatan sekiranya menerima arahan daripada ibu pejabat.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa arahan untuk menjalankan siasatan. Kalau isu dan dakwaan yang sama, tidak ada guna kita jalankan siasatan kerana keputusannya tetap sama melainkan ia mengenai isu atau bukti yang terbaru,” katanya kepada pemberita selepas sidang media 'Teater Muzikal Semarak Pertiwiku' di sini, hari ini.

Ditanya mengenai berapa ramai individu berprofil tinggi yang terlibat, Razim berkata, SPRM tidak boleh mendedahkan perkara tersebut kerana ia boleh menjejaskan nama baik orang-orang tertentu.

“Mereka ini ada kedudukan dalam masyarakat dan ada maruah, yang pasti SPRM akan menjalankan siasatan apabila ada laporan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, banyak kes-kes besar yang melibatkan orang ternama telah dituduh di mahkamah.

Semalam, media tempatan melaporkan lebih 50 laporan berhubung dakwaan rasuah di negeri ini termasuk aduan ke atas individu berprofil tinggi telah diterima.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang laporan atau aduan mengenai rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya kerana SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan.

- Bernama