Bendahari PAS Pusat Iskandar Samad menuntut agar Yeo Bee Yin mendedahkan nama dalang di sebalik kilang-kilang haram di Pasir Gudang.
"Kami mengalu-alukan pengumuman oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) untuk menjalankan operasi penguatkuasaan bersama untuk menutup kilang-kilang haram di Pasir Gudang," katanya.
"Tetapi dia mesti terlebih dahulu menjelaskan sama ada keracunan gas toksik di Pasir Gudang disebabkan oleh kilang yang yang sah atau haram.
"Jika keracunan itu juga disebabkan oleh kilang-kilang yang sah atau berlesen, sekadar menutup tidak akan membetulkan keadaan," kata Iskandar dalam kapasitinya sebagai Pengarah Kecemasan dan Pengurusan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).
"Kementerian itu sepatutnya mengenal pasti pelakunya yang bertanggungjawab untuk keracunan ini sekarang, ini adalah insiden kedua," katanya.
Rabu lalu, Yeo menyifatkan serangan peribadi terhadapnya berhubung isu Pasir Gudang sebagai menghina profesionalisme pegawai kerajaan yang secara sabar mencari sumber kejadian.
Yeo berkata tuduhan-tuduhan itu adalah pembohongan dan tidak membina, terutama ketika kerajaan persekutuan dan negeri bekerja keras untuk melihat isu kesihatan.
Iskandar, yang juga bekas naib presiden PAS, menegaskan bahawa sudah menjadi tanggungjawab seorang menteri untuk menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat.
"Pada masa-masa tertentu mungkin ada tuduhan tetapi ini bukan perkara yang luar biasa apabila orang marah. Jangan mengancam rakyat kerana gaji mereka dibayar oleh rakyat" katanya.
"Anda bukan lagi hanya wakil di Dewan Negeri Selangor tetapi Menteri Persekutuan. Anda mesti memberikan kepimpinan. Sila letak jawatan jika anda tidak dapat menanggung tekanan," tambah Iskandar.
