Polis tahan seorang lagi suspek kes bakar kereta mufti Perlis
Polis Perlis menahan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam insiden membakar kereta rasmi Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin pada Mac lalu.
Suspek ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang digelar Mee Tomoi dan ditahan di Kedah pada pukul empat pagi tadi.
Dia ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
"Hasil soal siasat, OKT (orang kena tuduh) telah mengaku terlibat dalam kes bakar kereta Mufti Perlis bersama seorang individu yang telah ditangkap sebelum ini," kata polis dalam kenyataan.
Menurut polis lagi, lelaki itu memiliki sejumlah rekod jenayah dan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine.
Polis menahan suspek utama, iaitu seorang lelaki yang dikenali sebagai Zaini, pada Mei lalu.
Polis juga sebelum ini berkata Zaini dan Mee dipercayai dalang kepada serangan dan rompakan terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis Hazman Hassan.
Hazman dilaporkan cedera di pipi kiri akibat dilibas pedang samurai dalam kejadian di rumahnya di Kangar, September lalu.
Polis berkata Zaini bertanggungjawab membayar Mee untuk kedua-dua kes itu.

