'Wallahi wang dalam akaun Umno tiada kaitan 1MDB'
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa hari ini bersumpah bahawa wang dalam akaun parti itu yang dibekukan pihak berkuasa selepas PRU ke-14 tiada kaitan dengan 1MDB.
"Wallahi, wabillahi, watallahi, saya boleh bersumpah bagi pihak Umno, pitih (duit) yang dibekukan dalam akaun Umno itu tiada satu sen pun yang ada kena mengena atau terkait dengan 1MDB," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau mendakwa dana dalam akaun parti itu ketika ia dibekukan diperolehi pada 2016 dan 2017.
"Saya berani buat ketegasan ini sebab saya sudah tengok dokumennya secara terperinci.
"Tuduh terima dari akaun Najib berlaku pada tahun 2011, 2012, 2013. Pada 2014 habis licin duit yang diterima daripada akaun Najib. Duit yang ada pada tahun 2018 adalah hasil dari tahun 2016 dan 2017, tidak ada kena mengena dengan 1MDB," katanya lagi.
Beliau berkata dokumen perlu dikemukakan bagi membuktikan Umno memang menerima wang daripada 1MDB.
Pada 28 Jun 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk Umno yang mempunyai kaitan dengan siasatan 1MDB.
Antara akaun parti itu yang dibekukan ialah Umno Pusat dan Umno Selangor.
Bulan lalu, SPRM memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata sebahagian besar daripada wang itu - iaitu RM212 juta - dituntut daripada Umno.
Susulan itu, Umno melantik pasukan peguam dan memfailkan afidavit balas bagi berdepan tindakan SPRM itu.
Sementara itu, Annuar memaklumkan pemimpin Umno dan PAS akan bertemu empat hari lagi bagi memuktamadkan piagam kerjasama dua parti itu.
Umno diketuai Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan akan bersama jawatankuasa PAS diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man akan membuat penelitian terakhir piagam itu sebelum diserahkan kepada presiden parti.

