Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: PH bincang pelawaan PM isu parti Melayu sertai Bersatu

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan cadangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pelawaaannya agar parti-parti Melayu menyertai Bersatu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kita ada mesyuarat Majlis Presiden PH dan itu ruang yang terbaik untuk kita bincang termasuk cadangan PM terbaru. Isnin, 8 haribulan mesyuarat.

"Ini mesyuarat biasa bulanan Majlis Presiden, tentu digunakan (oleh perdana menteri) untuk beri penjelasan," jawabnya ringkas kepada pemberita selepas majlis pelancaran University Malaya Endowment Fund (UMEF) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi Bersatu itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” kata Mahathir. 

Bagaimanapun, pelawaan Mahathir itu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan daripada kepimpinan Umno dan PAS.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama (ta'awun siyasi) antara parti itu dan PAS lebih penting untuk agenda penyatuan ummah berbanding menyertai Bersatu.

Manakala Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi pula sebaliknya mengajak Bersatu untuk bersama-sama perjuangan PAS dan Umno.

'Usah banyak berteori'

Sementara itu, ketika berucap dalam program berasingan di Titiwangsa, Anwar membidas pihak-pihak tertentu yang mendakwanya kemaruk untuk menjadi perdana menteri.

“Ada orang kata, Anwar macam mana pun dia nak jadi juga perdana menteri. 

"Saya nak bagitahu, kalau betul saya sanggup lakukan apa saja untuk jadi perdana menteri, saya dah jadi pada tahun 1999 atau 2000. Jangan lupa itu,” katanya dalam majlis ramah mesra bersama bekas anggota Pemuda PKR (AMK) di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengulangi cubaan untuk melagakannya dengan Dr Mahathir hanya akan merugikan PH dan menguntungkan pembangkang.

Terdahulu majlis tersebut menyaksikan pengumuman penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Keadilan yang dianggotai bekas anggota pemuda PKR (AMK) yang dianggap generasi lama reformasi.

Turut hadir, ialah timbalan menteri Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Lihat Komen
ADS