Ikim cadang kod etika untuk anggota pentadbiran
Kod etika bagi anggota pentadbiran perlu diwujudkan bagi memantapkan lagi usaha-usaha kerajaan yang berwawasan, saksama, cekap dan berteraskan dasar rukun negara, kata pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).
"Kod etika yang dicadangkan itu boleh mengandungi etika rasmi yang berteraskan kepada amalan pengurusan negara," kata Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.
"Ia juga boleh merangkumi etika peribadi yang merupakan tatakelakuan yang berteraskan nilai yang akan menghasilkan peribadi yang mulia," tambah beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa perasmian Seminar Etika dan Budaya Berpolitik daripada Perspektif Islam pagi tadi di Kuala Lumpur.
Menurutnya kod etika itu boleh mengandungi ciri-ciri yang berpegang kepada prinsip tangggungjawab bersama. Prinsip ini memerlukan anggota pentadbiran berpegang kepada prinsip bersama yang terpakai dalam semua keputusan dan tindakan kerajaan.
Melalui kod etika itu, anggota pentadbiran tidak boleh melibatkan diri dalam perniagaan kerana ia boleh menimbulkan percanggahan kepentingan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Keperibadian yang unggul
Ahmad berkata mereka juga perlu mengisytiharkan pemilikan harta mereka dan keluarga melalui pengisytiharan berkanun.
"Mereka juga perlu pastikan tidak berlaku percanggahan kepentingan antara jawatan awam dan kepentingan peribadi dan mengelak menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi," katanya.
Tambahnya, anggota pentadbir perlu menjaga keselamatan maklumat kerajaan dan menunjukkan keperibadian yang unggul.
"Selain itu, mereka tidak boleh menunjukkan satu taraf kehidupan yang melebihi kemampuan," katanya.
Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Sebanyak 13 kertas kerja pensyarah dan tokoh agama akan dibentangkan sepanjang dua hari.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.