Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir tak boleh jadi ‘penapis’ kami, kata kumpulan akademik
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Kumpulan akademik Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) membidas hantaran blog oleh penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri, A Kadir Jasin baru-baru ini.

Biarpun menyifatkan artikel oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Muein Abadi yang disiarkan Umno Online sebagai “pseudo-akademik”, ia turut mengkritik kenyataan Kadir yang disifatkan sebagai “cercaan kasar”.

“Muein yang kini sedang menyiapkan pengajian peringkat PhD di Leiden, membangkitkan kemarahan Kadir dengan artikelnya yang mendakwa kerajaan PH telah menjual aset negara bernilai RM20 bilion sejak memenangi PRU14.

“Ia artikel yang goyah, mempunyai 40 perkara disertakan dengan pautan (laman web), dan mengandungi sangat sedikit analisis dan perbincangan. Ia macam artikel sensasi dan pseudo-akademik, yang menghimpun beberapa laporan bersama-sama tanpa ada konteks dan penjelasan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.


Baca: Pensyarah dakwa diugut lepas berbalah dengan Kadir


Bagaimanapun, Gerak turut membidas reaksi Kadir terhadap artikel Muein itu sebagai satu tamparan buat kebebasan akademik.

“(Kadir) mula melemparkan tuduhan bahawa wujud konspirasi oleh golongan deep state (penggerak belakang tabir) - tuduhan yang selalu disebut, tetapi sangat jarang dianalisis.

“Dalam serangannya, Kadir menuduh naib canselor UKM dan ahli lembaga pengarah berpotensi bertindak sebagai pengkonspirasi deep state.

“Dia turut menegaskan bahawa Menteri Pendidikan Maszlee Malik sedang ditunggang oleh ‘penjahat-pejahat’ tersebut,” kata kumpulan itu lagi.

“Kebebasan dan tanggungjawab akademik adalah (proses) mencari kebenaran dan mengesahkannya. Selalunya, kebenaran itu menyakitkan dan tak semestinya menepati apa yang kita percaya.

“Tetapi perbezaan pendapat adalah sebahagian daripada perkara yang perlu dihadapi dalam komuniti akademik, untuk mendapatkan dan menjana ilmu pengetahuan,” kata kumpulan itu lagi.

Gerak memetik kertas laporan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarbangsa yang disediakan oleh empat pensyarah daripada Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia, yang menurut mereka “tidak mencapai standard sepatutnya”.

Kertas itu dikatakan telah digunakan untuk meyakinkan persidangan Majlis Raja-raja untuk menolak piagam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu itu.

“Ia (laporan) telah dikritik dan ditolak secara sistematik dan komprehensif oleh pakar-pakar yang sebenar, tapi tak ada pula yang meminta mereka didisiplinkan atau dipecat.

“Tak ada yang minta menteri pendidikan campur tangan dan menghukum mereka,” katanya lagi.

Gerak mendakwa hantaran blog Kadir itu boleh disamakan dengan campur tangan politik.

“Kadir mungkin merupakan penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri. Tapi bagi ahli akademik, dia tidak boleh menjadi ‘penapis’ kami,” kata kenyataan itu lagi.

“Cadangan dia tentang apa yang menteri pendidikan perlu buat juga merupakan campur tangan politik. Cara itu tidak boleh, dan tidak sepatutnya menjadi cara yang digunakan dalam Malaysia Baru.

“Gerak konsisten menolak campur tangan politik dalam bidang akademik. Campur tangan seperti itu merupakan salah satu sebab utama kenapa bidang akademik Malaysia terperangkap dalam keadaan menyedihkan, seperti sekarang,” katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS