Paling Popular
Terkini

Putrajaya sedang mempertimbang untuk memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menghidupkan semula syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa ini, kerajaan sedang meneliti tawaran yang kebanyakannya dihantar oleh syarikat tempatan.

Setakat ini, Mahathir berkata kerajaan telah menerima empat tawaran - ada yang berminat membeli MAS, manakala selebihnya hanya mahu menguruskan.

"Kita perlu mengkaji dengan berhati-hati selepas banyak lagi menukar (pengurusan) tetapi sia-sia.

"Jadi, kita (akan) berikan kepada pihak yang mempunyai pengalaman," katanya kepada pemberita di Hotel Marriott, Putrajaya, hari ini.

Demikian katanya, ketika membalas soalan berkenaan perjumpaan dengan bekas pengerusi syarikat AirAsia Group Bhd, Pahamin A Rajab, minggu lalu.

Pahamin mengemukakan pelan kepada Mahathir untuk membantu kerajaan memulihkan MAS, pada 3 Julai.

Pahamin dikhabarkan sebagai salah seorang calon untuk mengemudi semula syarikat penerbangan itu supaya kembali menguntungkan.

Walaupun empat tawaran itu kebanyakannya terdiri daripada syarikat tempatan, Mahathir kelihatan ragu-ragu ketika ditanya mengenai keupayaan mereka.

"Mereka fikir mereka berkemampuan. Kami telah melantik begitu ramai pada masa lalu, tetapi mereka tidak mampu.

"Ramai orang menggunakan syarikat penerbangan tambang murah, jadi ia tidak mudah. Mereka (MAB) perlu bersaing dengan dengan syarikat penerbangan tambang murah," kata beliau.

Terdahulu, Mahathir merasmikan Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata bahawa syarikat penerbangan tambang murah gergasi AirAsia Group Bhd mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan MAS.

Kadir menekan bahawa empat inisiatif pemulihan sebelum ini oleh Khazanah Nasional Bhd untuk menghidupkan semula MAB sejak tahun 2001 telah gagal, dengan kos kerajaan sebanyak RM25 bilion.

Lihat Komen
ADS