Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada motif politik dalam pindaan tambahan Undi 18, kata Umno

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menegaskan tidak ada maksud politik di sebalik tuntutan Umno bagi pindaan tambahan kepada rang undang-undang umur minimum pengundi.

Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Annuar berkata cadangan itu dibuat dengan "niat baik" kerana sebarang pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan secara komprehensif.

"Ini bukan hanya satu rang undang-undang biasa (kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan), jadi apabila kerajaan bercadang untuk menurunkan usia pengundi yang layak, ada aspek lain yang terpengaruh dalam konteks parlimen dan perlembagaan," katanya.

"...Cadangan kami bukanlah bermaksud politik. Kami melihatnya semata-mata dari keperluan konsistensi perlembagaan, " katanya.

Kerajaan membentangkan pindaan kepada Perkara 119 Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur minimum pengundi kepada 18 tahun di Dewan Rakyat Khamis lalu.

Bagaimanapun, Umno dan PAS berkata mereka hanya akan menyokong rang undang-undang itu jika Putrajaya memasukkan klausa untuk dua pindaan tambahan termasuk pendaftaran pengundi automatik dan untuk mengurangkan umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Menurunkan usia kelayakan calon pilihan raya akan melibatkan pindaan kepada Perkara 47 perlembagaan.

Pada masa ini, wakil yang dipilih perlu tidak kurang daripada 21 tahun manakala senator mestilah berumur 30 tahun ke atas.

Annuar hari ini berkata Umno gembira apabila membaca berita bahawa kerajaan Pakatan Harapan memasukkan dua klausa baru ke dalam rang undang-undang itu.

Apabila ditanya sama ada ia bermakna Umno menjamin sokongannya untuk rang undang-undang itu, beliau menjawab: "Kami akan menyokong (jika perubahan dibuat). Bukan sahaja kita ... tetapi PAS dan GPS akan menyokong."

Rang undang-undang perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dijadualkan untuk bacaan kedua pada 16 Julai.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan perlu menarik balik rang undang-undang yang ada, meminda dan membentangnya di Dewan Rakyat sekali lagi untuk memasukkan perubahan tersebut.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan memberi taklimat kepada ahli parlimen mengenai perkara itu esok.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS