Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had umur belia: Dr M akan kaji apa sudah jadi di Johor

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan pusat akan mengkaji kenapa kerajaan Johor tidak bersetuju dengan pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

"Kita nak kaji apa kesannya kenapa dia buat benda ini.

“Kita tak tahu dengan mendalam tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan Johor," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Kerajaan Johor dalam tempoh 48 jam telah tiga kali mengubah pendirian daripada tidak setuju dengan ketetapan pusat, kemudian bersetuju dan kemudian kembali kepada had umur 40 tahun.

Dalam keputusan terkini malam tadi, exco Johor Sheikh Umar Baghrib Ali berkata keputusan terbaru itu dibuat selepas "perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak".

Dia tidak menamakan pihak itu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas tengah malam tadi memuat naik gambar beliau dengan Sheikh Umar dan Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal dengan kapsyen umum: “Muafakat itu berkat. Allah Berkati Johor.”

 Sementara itu, Mahathir berkata kerajaan persekutuan masih tidak pasti mengapa keputusan itu dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Itu masalah kerajaan Johorlah. Saya tak bertanggungjawab dengan perkara itu dan saya tak dapat jawab,” katanya.

Lihat Komen
ADS